Anthony Fauci kena kuarantin di rumah


Dr Anthony Fauci yang mengetuai pasukan petugas khas AS bagi melawan Covid-19 adalah pegawai kanan ketiga tertinggi dalam pasukan itu yang kini menjalani pengasingan di rumah. – Gambar EPA, 10 Mei, 2020.

PENASIHAT kesihatan White House Dr Anthony Fauci menjalani pengasingan di rumah selepas berhubungan dengan seorang pegawai di pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS) yang disahkan positif Covid-19, lapor media.

Fauci yang mengetuai pasukan petugas khas AS bagi melawan Covid-19 akan bekerja dari rumah namun dijangka akan ke pejabat sekali sekala, lapor NBC News.

Fauci adalah pegawai kanan ketiga tertinggi dalam pasukan petugas khas itu yang kini menjalani pengasingan di rumah.

Dua lagi yang terlibat ialah Pengarah Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Dr Robert Redfield dan Pengarah Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Dr Stephen Hahn.

Kedua-dua mereka dijadual memberi keterangan melalui sidang video kepada jawatankuasa senat pada Selasa ini yang akan mendengar hal-hal berkaitan pembukaan semula ekonomi.

Fauci bagaimanapun setakat ini dilaporkan bercadang hadir sendiri ke sesi pendengaran sama untuk memberi keterangan.

Jangkitan Covid-19 di White House dikesan ketika Presiden Donald Trump merancang membuka semula ekonomi Amerika. 

Seorang pembantu peribadi Trump sendiri disahkan positif Covid-19 minggu ini, disusuli setiausaha akhbar kepada Naib Presiden Mike Pence, Katie Miller.

Trump dan Pence bagaimanapun disahkan negatif hasil ujian pada Khamis lalu. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen