Rakyat Iran khuatir jangkitan kes virus melonjak semula


Penduduk Iran memakai topeng muka dan sarung tangan ketika membeli-belah di sekitar Tehran. Iran adalah salah satu negara yang paling terjejas dengan Covid-19. – Gambar EPA, 9 Mei 2020.

KETIKA ramai penduduk di ibu negara Iran mengambil kesempatan kelonggaran kawalan Covid-19, ada yang bimbang mengenai lonjakan jangkitan baru.

“Barisan orang bodoh,” kata peniaga Manouchehr berhubungan barisan pelanggan di luar pengurup mata wang asing di daerah Sadeghieh, Tehran barat.

Ramai beratur rapat antara satu sama lain dan tidak memakai topeng.

Seorang anggota polis trafik memberitahu AFP, keadaan seperti itu berlaku sejak pengurup mata wang dibuka semula. Orang awam ramai tidak mematuhi protokol asas antipenularan, keluhnya.

Kerajaan mula menarik balik kawalan koronavirus di luar Teheran pada 11 April, dengan alasan  ekonomi perlu kembali beroperasi.

Ia membolehkan perniagaan kecil dibuka semula di ibu kota seminggu kemudian, sebelum membenarkan pusat membeli-belah menerima pelanggan pada 21 April dan kedai gunting rambut dibuka pada Rabu.

Jangkitan harian sebanyak 802 kes di Iran pada 2 Mei merupakan tahap terendah sejak awal Mac.

Tetapi jumlah kes harian sejak kebelakangan ini semakin meningkat, sehingga mencecah 1.500 pada Sabtu untuk menjadikan jumlah jangkitan yang disahkan di negara ini melebihi 106,000.

Membahayakan nyawa

Jalan, bazar, dan pusat beli-belah di ibu kota sekarang semakin sibuk selepas hampir sepi selama berminggu-minggu apabila sebahagian besar langkah kawalan dilaksanakan pada Mac.

Milad, seorang pekedai di sebuah pusat membeli-belah, tidak setuju dengan pelonggaran sekatan pergerakan.

“Semua pelanggan yang masuk akan membahayakan nyawa kami - kami yang terpaksa datang untuk bekerja,” katanya.

Pusat membeli-belah menjadi sangat sibuk pada waktu malam, kata lelaki berusia 22 tahun itu, yang tidak mempunyai peralatan perlindungan.

Covid-19 meragut hampir 6,600 nyawa di Iran sejak dua kematian pertama dilaporkan di bandar Qom pada 19 Februari, menurut pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Kesihatan Iraj Harirchi menyifatkan Tehran sangat lemah dalam memerangi virus tersebut.

Bandar dengan 8 juta penduduk ini penuh sesak dan menjadi tumpuan ratusan ribu pekerja dari wilayah lain.

Kerajaan bertindak melonggarkan sekatan walaupun Tehran mempunyai kadar jangkitan tinggi.

Sekolah, universiti, pawagam dan stadium masih ditutup untuk membendung penyebaran virus.

Mereka tidak peduli

“Orang ramai waspada untuk memastikan jangkitan menurun, tetapi selepas penyakit ini dianggap kurang membimbangkan, kami melihat kes semakin berkembang,” kata Masoud Mardani, seorang pakar penyakit berjangkit di Kementerian Kesihatan.

Kenaikan itu “sebahagiannya disebabkan oleh pembukaan semula (perniagaan) dan orang ramai yang keluar membeli-belah,” katanya kepada agensi berita ISNA, dan menyebutkan peningkatan perjalanan di wilayah Tehran.

Pihak berkuasa kesihatan berjanji mengenakan kembali langkah ketat jika jumlah kes terus meningkat.

Tetapi ramai warga Iran tetap bertegas mereka harus bekerja untuk mengelakkan masalah kewangan.

“Hidup memerlukan duit,” kata Hamed. “Orang harus pergi bekerja memandangkan virus ini ada dengan kita sejak hampir tiga bulan sekarang.”

Pemuda berusia 22 tahun itu adalah antara mereka yang ditemui di jalanan tanpa topeng muka, yang menganggap perlindungan tersebut “tidak berkesan”.

Beliau menempuh perjalanan lebih 150km dari Qom ke Tehran untuk bekerja dengan syarikat perbankan swasta.

Ini adalah perjalanan yang harus dilaluinya setiap beberapa hari dan berkata tidak boleh menolak kerana bimbang hilang pekerjaan.

Mohammad, bekas kontraktor bangunan, mengadu topeng muka mahal dan kekurangan bekalan.

Topeng muka pakai buang berharga dari 49,000 rial hingga 10 atau 15 kali ganda daripada jumlah itu bagi jenis lebih berkualiti.

“Mereka sepatutnya memberikan ia kepada rakyat secara percuma,” katanya.

Tetapi masalah terbesar Mohammad adalah kesesakan di dalam bas, dengan tanda merah pada separuh tempat duduk bagi memastikan penjarakan sosial diabaikan.

Beliau kesal melihat sebuah bas dengan “40 orang penumpang” semasa perjalanan pagi dan menggesa pihak berkuasa meningkatkan perkhidmatan. – AFP, 10 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen