Kurang dana, pemulihan mangsa banjir sangat perlahan


Looi Sue-Chern

Sampah berlonggok di tepi jalan di Lorong Binjal 9, Taman Sri Rambai, Pulau Pinang susulan penduduk masih membuang barang yang rosak akibat banjir. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2017.

RIBUAN mangsa banjir di Pulau Pinang sedang cuba membina balik kehidupan tetapi simpanan mereka yang sedikit tidak cukup untuk membayar kos pembaikan dan pembelian semula barangan asas.

Kebanyakan mangsa adalah kalangan 29% rakyat Malaysia yang mempunyai kurang RM500 dalam dompet mereka jika berlaku kecemasan, masalah berpunca daripada kenaikan kos sara hidup dan gaji yang rendah.

Mereka menunggu bantuan RM700 daripada kerajaan negeri dijangka dibayar pada 16 Disember dan sehingga tempoh itu, mereka cuba menggunakan apa saja yang masih boleh dipakai, walaupun barangan itu diselaputi lumpur dan sudah tenggelam dek air bah.

Kaji selidik Merdeka Center yang dijalankan antara 4 hingga 14 November membabitkan 1,203 responden berdaftar, mendapati 29% tidak ada RM500 pun jika berlaku kecemasan sementara 15% rakyat Malaysia tidak makan untuk mencukupkan keperluan.

Beberapa mangsa yang ditemu bual The Malaysian Insight semalam berkata bantuan RM700 daripada kerajaan negeri tidak cukup pun untuk membantu bina semula hidup mereka selepas banjir awal bulan ini memusnahkan perabot, barangan elektrik dan kenderaan mereka.

Simpan dan buang

“Apa boleh guna, kami simpan. Saya basuh dan keringkan sofa saya beberapa hari. Lihatlah macam mana sama ada boleh guna lagi atau tidak,” kata penduduk Taman Sri Rambai yang mahu dikenali sebagai Saw, kepada The Malaysian Insight.

Laman depan rumah setingkat itu penuh dengan barangan yang tenggelam dalam air banjir setinggi 4m pada awal pagi 5 November.

Keluarga Saw kehilangan hampir semua perabot mereka kerana ia diperbuat daripada kayu, keperluan asas dapur, peti sejuk, dapur elektrik dan mesin basuh.

Dengan dua kereta dan motosikal perlu dibaiki, katanya dia dan suami mungkin berdepan kerugian ribuan ringgit.

“Kami tidak ada banyak wang untuk baiki semuanya dan beli baharu. Malah sekarang pun, kami tidak tahu berapa kos baiki kenderaan itu. Ini bukan ratusan ringgit. Ia akan mencecah ribuan ringgit, duit yang kami tidak ada.

“Apatah lagi barang sekarang semua mahal,” kata suri rumah berusia 34 tahun itu.

Pemulihan yang perlahan

Saw berkata keluarganya masih belum membeli apa-apa lagi kerana masih lagi meninjau barangan yang boleh dibeli menerusi bayaran ansuran, dengan kadar faedah sifar.

“Jika kami tidak dapat pembelian seperti itu, kami terpaksa beli semua itu secara perlahan-lahan. Kami akan buat apa yang penting dulu, seperti baiki peti sejuk dan kereta,” katanya.

Selepas tiga minggu banjir besar melanda Pulau Pinang, penduduk Taman Sri Rambai, Pulau Pinang masih melakukan kerja pembersihan, mengeringkan pelbagai barangan yang terendam dalam banjir. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2017.

Kerajaan negeri menjangkakan 100,000 isi rumah terjejas akibat bencana itu, dan akan membayar RM700 bagi setiap isi rumah dan perniagaan pada 16 Disember jika permohonan mereka diluluskan.

Adun Pulau Tikus Yap Soo Huey yang bertanggungjawab dalam permohonan bantuan kecemasan itu, mengumumkan 24,000 isi rumah sudah menghantar borang mereka setakat semalam.

Jumlah permohonan tertinggi sebanyak 3,784 daripada kawasan Padang Lalang di Bukit Mertajam, salah satu kawasan terjejas teruk dilanda ribut dengan jumlah taburan hujan 372mm. Di sini juga di mana kejiranan Taman Sri Rambai terletak.

Hampir tiga minggu selepas bencana itu, sampah seperti perabot rosak masih memenuhi tepi jalan di depan rumah, ketika isi rumah yang terjejas terus membuat barang.

Di rumah seorang lagi suri rumah di Lorong Binjal 9, dikenali sebagai Teh, juga penuh dengan barangan yang ditenggelami banjir berserakan di kawasan rumahnya.

Dia tinggal di situ bersama anak perempuannya yang bekerja di pejabat dengan gaji rendah, dan mereka tidak mampu beli apa pun untuk menggantikan barang rosak.

“Setakat ini kami hanya beli baju baharu kerana yang lama rosak terus,” katanya.

Kaji selidik kerajaan negeri diperlukan

Kumpulan pengguna berkata pihak berkuasa boleh membantu mangsa dengan menjalankan kaji selidik tentang berapa banyak keluarga terjejas dan berapa banyak kerugian ditanggung akibat banjir.

Naib Presiden Kanan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia K. Koris Atan berkata kerajaan negeri perlu lakukan kaji selidik itu dan umumkan penemuannya, termasuk anggaran berapa banyak diperlukan bagi membantu mangsa.

“Pelaksanaannya mungkin akan ambil masa tetapi ia boleh dilakukan. Lebih pula kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit untuk kaji projek mega,” kata Koris kepada The Malaysian Insight.

Katanya, menggunakan data yang dikumpulkan itu, kerajaan negeri boleh membincangkannya dengan industri bagi rundingan khas membantu mangsa banjir untuk beli perabot dan keperluan lain.

“Kerajaan negeri boleh keluarkan surat kepada isi rumah yang terjejas untuk mengesahkan mereka mangsa bencana itu ketika mahu membuat pembelian,” katanya.

Harga subsidi untuk mangsa banjir

Pegawai pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N.V. Subbarow turut mencadangkan pihak berkuasa temu bual mangsa untuk mengetahui apa sebenarnya mereka perlukan dan bantu mereka dapatkan barang asas untuk rumah masing-masing.

Katanya, kebanyakan derma datang dalam bentuk bahan makanan tetapi sesetengah keluarga berdepan masalah kekurangan kelengkapan memasak, tidak ada dapur atau gas.

Subbarrow berkata sesetengah keluarga mungkin perlu bantuan mendapatkan barangan sekolah atau pakaian seragam anak sebelum sesi persekolahan bermula Januari depan, sementara suri rumah yang menjahit untuk pendapatan tambahan untuk perlukan mesin jahit.

“Membazir kalau beri orang barang yang mereka tidak perlukan sangat. Mungkin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung boleh bantu kutip maklumat.

“Kemudian pihak berkuasa boleh jumpa pembekal dan pengedar untuk lihat apa yang boleh dilakukan. Mungkin mangsa banjir boleh beli apa yang diperlukan pada harga rendah atau subsidi,” katanya. – 25 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen