JUMLAH kes koronavirus yang dicatatkan di seluruh dunia kini melepasi angka 4 juta pada Sabtu, menurut perkiraan AFP berdasarkan sumber rasmi, pada 2145 GMT.
Kini terdapat sekurang-kurangnya 4,001,437 kes koronavirus di seluruh dunia, dengan 277,127 kematian.
Amerika Syarikat (AS) adalah negara paling teruk terjejas dengan 1,305,544 kes dan 78,618 kematian.
Presiden Donald Trump menerima kritikan daripada pendahulunya Barack Obama berhubung caranya menangani pandemik Covid-19, dan menyifatkan ia sebagai satu “kemusnahan besar”.
Sementara itu, pihak berkuasa di Seoul, Korea Selatan, menutup lebih 2,100 kelab malam, bar dan disko selepas satu kluster kes dikaitkan dengan satu daerah hiburan popular di situ.
Rusia pula melaporkan lebih 10,000 kes baharu ketika pandemik menjejaskan sambutan Hari Kemenangan yang menandakan 75 tahun kekalahan Nazi Jerman dalam Perang Dunia II.
Eropah menjadi benua paling teruk dilanda pandemik Covid-19, dengan 1,708,648 kes dan 155,074 kematian.
Bagaimanapun, perkiraan menggunakan data yang dikumpulkan dari pihak berkuasa negara dan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya mencerminkan sebilangan kecil jumlah sebenar jangkitan. Banyak negara hanya menguji kes yang paling serius. – AFP, 10 Mei 2020.
Komen