UNITED Kingdom (UK) memperuntukkan hampir RM11 bilion (£2 bilion) untuk membangunkan kemudahan bagi menggalakkan orang ramai berjalan dan berbasikal, ketika wabak Covid-19 mengubah cara hidup manusia di serata dunia, lapor media.
Menteri Pengangkutan Grant Sharps semasa mengumumkan peruntukan itu berkata pelan itu adalah “sekali seumur hidup” untuk mengubah UK.
“Kebanyakan daripada kita akan terpaksa berfikir semasak-masaknya bila dan bagaimana kita bergerak,” katanya dalam taklimat harian Covid-19, seperti dipetik oleh Forbes.
Jelas Sharps, mereka yang berjalan kaki dan berbasikal akan meningkatkan perniagaan setempat.
Dana hampir RM11 bilion itu adalah sebahagian daripada peruntukan £5 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Boris Johnson pada Februari lalu, untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan awam termasuk basikal dan pejalan kaki.
Dana itu akan bermula dengan £250 juta kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyiapkan kemudahan sementara bagi memastikan ada penjagaan jarak antara orang ramai sepanjang tempoh kawalan pergerakan bagi membendung Covid-19 sekarang.
Sharps mengumumkan pihak berkuasa juga akan memperkenalkan garis panduan berkanun untuk menggalakkan orang ramai berbasikal atau berjalan kaki.
Antaranya ialah menyusun semula ruang jalan raya untuk meluaskan laluan basikal dan pejalan kaki.
Menurut Sharps, sejak penularan Covid-19, pihak berkuasa mengesan ada peningkatan sehingga 70% kadar orang berbasikal untuk keperluan sehari-hari.
“Kita mahu mereka meneruskannnya dan mengajak yang lain supaya bersama-sama,” katanya.
Jelas Sharps, separuh daripada pergerakan itu juga dikesan melibatkan jarak perjalanan dalam lingkungan 5 kilometer.
Semalam, UK mencatatkan pertambahan hampir 4,000 kes baharu jangkitan Covid-19 menjadikan keseluruhan 215,260 kes, dengan 31,587 daripada pesakit meninggal dunia. Semalam sahaja 346 kematian direkodkan dalam sehari.
UK adalah negara ketiga paling teruk dijangkiti Covid-19 selepas Sepanyol dan Itali. – 10 Mei 2020.
Komen