12 kes kluster baharu juga tinggal bersesak di satu kediaman


Pekerja asing berbaris ketika menjalani ujian saringan Covid-19 di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

SERAMAI 12 orang pekerja warga asing yang tinggal di kediaman sesak dikesan membentuk kluster jangkitan baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kluster itu mula dikesan pada 6 Mei melalui notifikasi dari sebuah hospital swasta yang menjalankan saringan ke atas para pekerja tersebut untuk kembali bekerja.

“... (hospital itu) mendapati tiga kes disahkan positif Covid-19 daripada lima orang pekerja yang telah disaring.

“Ketiga-tiga kes positif tersebut merupakan warga Bangladesh yang berkongsi tempat kediaman yang sama dengan 18 orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Saringan ke atas 28 kontak rapat kes positif itu kemudiannya menemui 12 kes positif, kesemuanya warga Bangladesh, kata Dr Noor Hisham.

Sembilan daripadanya negatif dan tujuh lagi kes masih menunggu keputusan, katanya yang menambah punca jangkitan masih dalam siasatan.

Jangkitan di Setia Alam itu menjadi kluster kedua melibatkan pekerja warga asing di tapak pembinaan.

Sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur sudahpun ditutup selepas lebih 28 pekerja warga asing didapati positif Covid-19.

Turut ditutup, sebuah kilang memproses ayam di Pedas, Negeri Sembilan dan juga sebuah pusat membeli-belah di Cheras, yang juga melibatkan kluster pekerja asing.

Seramai 12 kes dalam kluster baharu di Setia Alam itu merupakan antara 54 kes baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr Noor Hisham mengumumkan, ia meningkatkan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia 6,589 kes dan 1,552 daripadanya masih dirawat dan boleh berjangkit.

Sebanyak tiga kes juga dikesan daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, dan satu dari kalangan pengembara yang dikuarantin.

Beliau turut mengumumkan satu kematian, seorang wanita tempatan berusia 74 tahun dengan latar belakang penyakit autoimun, darah tinggi dan penyakit tiroid. – 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen