RAKYAT Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat menjalani perintah kuarantin Covid-19 akan menerima pampasan sebanyak RM100 sehari, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Putrajaya akan memberi pampasan itu selama 14 hari kepada mereka yang dikuarantin di hospital dan lokasi kurantin yang ditetapkan.
Ismail berkata mereka yang tidak menerima sebarang pendapatan sepanjang tempoh kuarantin juga layak untuk mendapat pampasan itu.
“Ada dua kumpulan yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji dalam tempoh kuarantin 14 hari.
“Begitu juga mereka yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar sepanjang tempoh mendapatkan rawatan di hospital akibat virus itu,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata mereka yang berkurung di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak layak untuk mendapat bantuan ini.
Ismail berkata tabung Covid-19 yang dilancarkan pada 11 Mac lepas berjaya mengumpul dana sumbangan pelbagai pihak berjumlah RM40.2 juta setakat 7 Mei lalu.
Beliau berkata sumbangan itu telah disalurkan untuk membantu rakyat negara ini yang terkena jangkitan wabak berkenaan menerusi Bantuan Khas Hilang Pendapatan dan Bantuan Ihsan Kematian.
Menurut beliau, setakat ini seramai 94 individu telah menerima bantuan ini berjumlah RM125,700.
Bagi Bantuan Ihsan Kematian pula, sebanyak RM5,000 diberikan kepada waris mereka yang telah terkorban akibat jangkitan virus berkenaan dan mengikut rekod seramai 71 waris telahpun menerima bantuan itu berjumlah RM355,000.
Pada masa yang sama sebanyak RM25.2 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara sebagai bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat wabak itu. – 9 Mei, 2020.
Komen