PENGUSAHA bas sekolah tidak patut meminta bayaran daripada ibu bapa sewaktu sekolah ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, pengusaha tersebut tidak patut berbuat demikian kerana mereka hanya wajar dibayar untuk perkhidmatan pengangkutan pelajar sewaktu sesi persekolahan.
“Kalau tidak ada perkhidmatan tentulah tidak boleh minta bayaran… Tidak ada sebab untuk minta ibu bapa ini bayar,” katanya dalam sidang media.
Beliau ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa yang menerima tuntutan bayaran daripada pengusaha tersebut sewaktu tempoh PKP.
Ismail juga berkata kementerian pengangkutan akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.
PKP yang dikuatkuasa dalam empat peringkat, dilonggarkan untuk tempoh 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan sosial beroperasi.
Bagaimanapun, sekolah dan semua institusi pendidikan masih ditutup untuk membendung penularan Covid-19.
Namun walaupun sekolah ditutup, guru masih perlu hadir ke sekolah sekiranya diperlukan untuk tugas mereka, kata Ismail. – 9 Mei, 2020.
Komen