ANWAR Ibrahim menafikan beliau bermusuh dengan Dr Mahathir Mohamad seperti yang didakwa oleh akhbar The Star.
Presiden PKR itu menolak dakwaan dalam artikel tulisan Joceline Tan, wartawan akhbar yang digelarnya lidah MCA.
Anwar berkata beliau kebiasaannya tidak berminat untuk memberi komen mengenai rencana atau wartawan, tetapi baginya tulisan Joceline itu keterlaluan.
“Tak apa dia menjadi jurucakap MCA. Tetapi baru-baru ini dia sengaja membawa satu pandangan untuk menghasut supaya ada satu permusuhan termasuk di kalangan saya dan Tun Dr Mahathir umpamanya.
“Dia menulis seolah-olah saya diangkat sebagai ketua pembangkang itu untuk sabotaj usaha-usaha yang lain,” katanya pada sidang video di Facebook hari ini.
Menurut Anwar keputusan melantik beliau sebagai ketua pembangkang dibuat pada Mac, seminggu sebelum dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat.
Katanya, Setiausaha Agung 30 April Saifuddin Nasution menulis kepada speaker mengenai kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang pada 30 April, walaupun beliau umumkan perkara itu pada 5 Mei.
Manakala pada 4 Mei Dr Mahathir mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pada 4 Mei juga Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menghantar usul percaya terhadap Dr Mahathir kepada speaker.
“Ini (pelantikan ketua pembangkang) diketahui umum walaupun kita tidak umumkan sebab kita mahu maklumkan dulu kepada semua parti pembangkang yang lain.
“Netizen dalam media sosial haruslah tahu antara fakta, fitnah dan propaganda. Dan tahu juga yang menulis itu siapa yang bayar.
“Ini sebagai contoh, mudah-mudahan jadi pengajaran,” katanya. – 9 Mei, 2020.
Komen