PENYAMPAI radio BFM dan pemilik ZI Publications, Ezra Zaid, berkata beliau sudah bersedia untuk dibicarakan berhubung penjualan, pengedaran dan pemilikan sebuah buku mengenai semangat keberanian dan mempraktikkan Islam tanpa rasa takut.
Ezra, anak kepada pemimpin DAP, Zaid Ibrahim, akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Selangor pada 22 Februari depan kerana menjual dan mengedar 180 buah buku penulis Kanada, Irshad Manji yang diterjemah bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” (Allah, Liberty and Love).
Pada 29 Mei, 2012, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan serbuan di pejabat ZI Publications dan merampas buku-buku tersebut.
“Lima tahun untuk satu kes adalah sangat lama, tapi saya sudah bersedia untuk lima tahun lagi,” Ezra memberitahu The Malaysian Insight.
“Selagi kita dapat betulkan perkara ini. Kita perlu perbetulkannya kerana banyak perkara dipertaruhkan-kebebasan asasi kita, Perlembagaan kita dan beratus-ratus tahun tradisi perundangan Islam.”
Ezra memfailkan semakan kehakiman pada Julai 2012 bagi mencabar sahsiah rampasan itu dan kesahihan Seksyen 16 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.
Beliau turut memfailkan rujukan secara berasingan kepada Mahkamah Persekutuan mempersoalkan kecekapan Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menggubal Seksyen S16 selaras dengan Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 7 Mac, 2013, Ezra didakwa di bawah Seksyen 16 kerana menerbit dan mengedarkan buku Irshad dan memiliki 180 salinan buku berkenaan.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Hakim Syariah Syukran Yusoff berkata, kes berkenaan, yang bermula pada 2012 sudah berlarutan terlalu lama dan memandangkan tiada isu perundangan dengan Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, perbicaraan perlu diteruskan.
“Kes ini tertangguh kerana para hakim memahami apa yang dipertaruhkan. Dan kita sudah lihat banyak contoh keberanian hakim, jadi saya optimis,” kata Ezra.
Ezara berkata sebagai penerbit, beliau mengambil kekuatan daripada pengarang terkenal Kassim Ahmad yang berpengalaman berkonflik dengan pihak berkuasa.
“Kassim Ahmad percaya kepada proses, dia melawan birokrat-birokrat agama ini hingga ke akhirnya, dan dia menang.
“Kita tak boleh lupakan dia dan segala yang dia lakukan,” kata Ezra.
Pada 26 Mac 2014, Kassim ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah, disoal dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya untuk didakwa kerana menghina Islam serta menentang pihak berkuasa agama pada seminar yang dirasmikan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pada 21 Disember 2015, panel Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati tindakan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap Kassim menyalahi undang-undang. Para pendakwa syariah menarik balik pertuduhan mereka pada 7 Ogos lalu.
Kassim meninggal dunia pada 10 Oktober lalu pada usia 84 tahun kerana jangkitan paru-paru dan injap jantung tersumbat. – 24 November, 2017.
Komen