Milan ibarat 'bom jangka' Covid-19, kata pakar


Pakar virologi Itali Massimo Galli berkata Milan berisiko menjadi 'bom jangka' virus Covid-19 susulan penduduk kini bebas bergerak dan berkumpul beramai-ramai selepas perintah berkurung dilonggarkan. – Gambar AFP, 9 Mei, 2020.

MILAN di Itali berisiko menjadi “bom jangka” virus Covid-19 susulan penduduk kini bebas bergerak dan berkumpul beramai-ramai selepas perintah berkurung dilonggarkan.

Bandar di wilayah Lombardy, yang menjadi pusat pandemik di Itali, merupakan salah satu kawasan yang paling banyak merekod angka kematian dan jangkitan di Eropah.

Menurut angka rasmi, lebih 80,000 kes Covid-19 dikesan di Lombardy. Kira-kira 15,000 orang maut sejak pandemik melanda pada awal Mac.

“Milan ibarat bom jangka,” kata Massimo Galli, ketua jabatan penyelidikan penyakit berjangkit di Hospital Sacco di Milan.

“Jumlah jangkitan kini meningkat.”

Gambar-gambar anak muda duduk di sepanjang terusan di Milan sambil minum wain, kebanyakannya tidak memakai topeng atau menjaga jarak sosial, bertebaran di dada-dada akhbar Itali semalam.

Galli berkata ini jelas menunjukkan melonggarkan perintah berkurung sejak 4 Mei akan membawa padah.

Datuk Bandar Milan Giuseppe Sala yang berang dengan tindakan orang ramai itu memberi amaran akan menutup tempat-tempat minum jika masih terus melanggar peraturan mencegah jangkitan. – AFP, 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen