SEORANG kanak-kanak lima tahun di New York meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru dipercayai disebabkan oleh virus Covid-19, kata Gabenor negeri itu, Andrew Cuomo semalam.
“Ada 73 kes dilaporkan di NY, mengenai kanak-kanak sakit teruk dengan gejala serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik (toxic shock syndrome).
“Pada Khamis, seorang kanak-kanak berusia lima tahun meninggal dunia akibat komplikasi ini, dipercayai berpunca dari Covid-19,” kata Cuomo dalam kenyataan di Twitter.
Tambah beliau, jabatan kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan dan menggesa semua ibu bapa membawa anak masing-masing dapatkan rawatan jika mengalami demam melebihi lima hari.
Gejala lain termasuk mengalami muntah atau cirit-birit, sukar bernafas, warna kulit pucat, sakit dada dan lesu, jelas gabenor itu.
Penyakit Kawasaki adalah penyakit misteri yang menyerang kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah dan menyebabkan radang pada saluran darah yang membawa kepada demam, ruam, kulit mengelupas dan sakit sendi.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) mula memberi amaran peningkatan kes jangkitan koronavirus dalam kalangan kanak-kanak bulan lalu, berkenaan penyakit yang ciri-cirinya bertindan antara penyakit Kawasaki atipikal dan sindrom kejutan toksik.
Perancis, Itali dan Sepanyol juga melaporkan beberapa kes serupa. Bagaimanapun, banyak kes dilaporkan sembuh tanpa masalah serius.
Rawatan bagi penyakit Kawasaki melibatkan intravena imunoglobulin dan aspirin.
Saintis percaya penyakit dua penyakit ini ada kaitan dengan Covid-19 meskipun belum ada bukti kukuh.
Cuomo berkata apa-apa sahaja yang disahkan ada kaitan dengan Covid-19 dan penyakit Kawasaki begitu membimbangkan.
“Ini satu berita yang menyedihkan dan akan membuka lembaran baharu.” – AFP, 9 Mei, 2020.
Komen