Majikan minta Putrajaya beri pilihan buat saringan Covid-19 pekerja asing


Ravin Palanisamy

Putrajaya mengarahkan semua majikan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka bagi mengelak penularan wabak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

KUMPULAN peniaga mendesak Putrajaya menyediakan kaedah lain untuk membiayai ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing berbandinb bergantung sepenuhnya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang walaupun Perkeso menawarkan ujian saringan percuma Covid-19 menerusi Program Saringan Prihatin (PSP), bukan semua majikan mendaftarkan pekerja asing mereka dengan agensi itu menyebabkan mereka tidak layak memohon skim itu.

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) T Muthusamy berkata Putrajaya wajar mempertimbangkan pengunaan Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing (SKHPPA) bagi menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing.

Ini akan mengelak majikan menggunakan wang sendiri untuk melakukan ujian pada masa mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Katanya, majikan membuat caruman wajib tahunan SKHPPA.

“Untuk membebankan majikan dengan menyerap perbelanjaan (kos ujian) menyusahkan lagi mereka kerana ketika ini aliran tunai sangat penting untuk semua majikan.

“Mereka boleh guna SKHPPA kerana ia adalah caruman insuran dibuat setiap tahun untuk pekerja asing.

“Peraturan pekerja asing yang guna dana ini sangat rendah. Jadi, kerajaan boleh bincang dengan syarikat insurans dan minta mereka tanggung kos (ujian),” kata Muthusamy kepada The Malaysian Insight.

Kerajaan sudah mengeluarkan arahan supaya semua majikan melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka bagi menghalang pembentukan kluster jangkitan baharu dengan menggunakan skim Perkeso.

Lebih 60% pekerja asing adalah pencarum Perkeso.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu The Malaysian Insight yang majikan pekerja asing yang tidak mencarum Perkeso perlu menanggung sendiri kos saringan Covid-19 pekerja mereka. – 9 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen