TASKA masih belum dibenarkan beroperasi di tempat kerja kerana bimbang kanak-kanak terdedah kepada jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya Kementerian Kesihatan bimbang jangkitan berlaku jika kanak-kanak ditempatkan secara berama-ramai di satu kawasan taska.
“Jika kumpulkan kanak-kanak di satu tempat, jadi perhimpunan. Ini menjadi kerisauan kementerian.
“Malah sebelum (pandemik) Covid-19, penyakit tangan dan mulut masih berlaku di taska. Jangkitan mudah berlaku di taska dan tempat kerja,” katanya dalam sidang media.
Oleh itu kebenaran masih belum dapat diberikan walau menerima banyak permohonan daripada kilang yang mahu taska dibuka supaya anak pekerja dapat dijaga semasa kakitangan tersebut bertugas.
“Kita masih belum beri keputusan, tapi akan diteliti sebaik mungkin,” katanya lagi yang menambah kementerian juga meneliti inovasi baharu untuk membolehkan taska beroperasi.
Beliau ditanya mengenai dakwaan terdapat taska dan sekolah antarabangsa dibenarkan beroperasi pada minggu depan dengan SOP yang ketat.
Kerajaan membenarkan taska beroperai dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa 4 Mei.
Pengusaha disyaratkan memastikan penjarakan sosial untuk kanak-kanak dan melakukan dua kali pembasmian kuman setiap hari.
Selain itu semua kakitangan mesti memakai penutup hidung dan mulut, dan mewajibkan suhu badan setiap individu yang memasuki pusat jagaan kanak-kanak itu dirakam.
Kalangan pengusaha bagaimanapun masih teragak-agak untuk beroperasi kerana tidak dapat mematuhi peraturan yang dikenakan dalam masa singkat.
Pengusaha itu juga tidak yakin dapat memastikan keselamatan pekerja dan kanak-kanak yang menyebabkan mereka mengambil keputusan menutup operasi. – 8 Mei, 2020.
Komen