Berjoging dalam kawasan apartmen, 4 remaja Afghan didakwa langgar PKP


Bede Hong

EMPAT remaja Afganistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini selepas ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan, yang dilaksanakan sebelum kelonggaran awal minggu ini, kerana berjoging dalam kawasan apartmen kediaman mereka.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 15 Julai ini untuk empat remaja itu, yang masing-masing berumur 13, 15, 16, dan 17, membuat pengakuan selepas mahkamah melantik seorang penterjemah.

Tiada pertuduhan dibacakan hari ini.

Timbalan pendakwa raya Syakieraah Zakaria bagaimanapun tidak menawarkan ikat jamin kerana sebagai bukan warganegara Malaysia mereka tidak layak untuk jaminan.

Hakim menetapkan ikat jamin RM400 seorang selepas peguam Collin Arvin Andrew berhujah bahawa semua tertuduh masih di bawah umur dan tinggal bersama keluarga yang sedang memohon untuk penempatan semula ke negara ketiga.

Remaja berkenaan, dari etnik Hazara, ditahan di Kondominium Ampang Prima oleh pengawal keselamatan pada 16 April. Mereka ditahan dalam sebuah bilik sebelum polis yang dipanggil tiba pada 5.20 petang pada hari kejadian.

PKP yang dilonggarkan, yang membenarkan kegiatan riadah di kawasan kediaman dan taman awam, hanya berkuat kuasa bermula 4 Mei.

Mahkamah hari ini diberitahu pengawal keselamatan berkenaan menahan mereka atas aduan penduduk yang tidak dikenali. Polis yang tiba lebih kurang satu jam kemudian menahan keempat-empat remaja.

Dua remaja yang lebih tua, yang berumur 16 dan 17 tahun, ditahan tujuh hari lagi selepas itu kerana mereka masih menunggu kad identiti pelarian daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Selepas ditahan, polis sepatutnya membebaskan mereka,” kata Collin, yang ditemui selepas sidang mahkamah.

“Polis boleh semak dengan UNHCR dan bebaskan mereka segera. Itu cara yang paling wajar dalam kes melibatkan bawah umur.”

Dua remaja itu memberitahu The Malaysian Insight mereka ditahan di lokap balai polis Ampang pada sepanjang masa dan tidak dibenarkan menerima pelawat, termasuk ibu bapa.

Kanak-kanak itu dalam proses memohon penempatan semula di negara lain, termasuk yang bongsu yang berumur 13 tahun yang sudah diterima untuk menetap di New Zealand sejurus sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

Kanak-kanak itu menangguhkan keberangkatannya untuk bersama keluarga, walaupun selepas PKP dilonggarkan.

“Orang selalu tenung saya dan ada yang hendak pukul saya sebab rupa saya tak macam orang lain,” kata remaja itu, yang bercita-cita mahu jadi juruterbang.
Ibu bapa remaja itu tidak bekerja sejak PKP.

Seorang lagi peguam mereka Chan Yen Hui memberitahu wartawan, beliau dimaklumkan ada satu lagi kes sebelum ini melibatkan dua remaja Afghanistan berumur 18 tahun dari apartmen yang sama.

Mereka ditahan pada 1 April dan dikurung selama dua minggu sebelum mengaku bersalah melanggar PKP. Mereka didenda RM800 setiap seorang.

“Saya bimbang ini adalah sebahagian daripada diskriminasi yang mereka hadapi di tempat tinggal mereka,” kata Elise Aryn Chen, penyelaras program di badan hak asasi Tenaganita. Beliau hari ini membayar ikat jamin empat remaja itu.

Pesuruhjaya hal ehwal kanak-kanak di Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal sebelum ini menggesa polis berhenti daripada menahan mereka yang di bawah umur kerana dakwaan melanggar PKP.

Katanya, tindakan itu melanggar konvensyen antarabangsa mengenai hak kanak-kanak yang dimeterai oleh Malaysia.

Sebelum ini, kanak-kanak bawah umur termasuk remaja Rohingya ditahan selepas keluar rumah mencari makanan. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen