MINUM teh tarik sambil bertemu masyarakat merupakan kaedah yang sangat biasa bagi ahli politik untuk merapatkan hubungan dengan penyokong mereka.
Dan ketika musim pilihan raya, sama ada pilihan raya parti atau nasional, ahli politk akan gunakan cara ini untuk memberi dorongan dan merancang kempen mereka dengan ahli.
Namun pandemik Covid-19 menyebabkan timbul masalah untuk melakukan pertemuan dengan penyokong dan ahli politik kini terpaksa berdepan dengan realiti baharu dengan menggunakan teknologi.
“Teknologi memainkan peranan penting dalam politik,” kata Pengarah Strategik PKR, Sim Tze Tzin kepada The Malaysian Insight.
Pada PRU13, parti politik menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Facebook untuk meraih undi dan pada PRU14 mereka beralih kepada aplikasi WhatsApp, kata Sim.
Ini kemudian berkembang kepada Facebook Live untuk ceramah, dan kini webinar untuk forum, katanya.
“Kita juga mula menggunakan platform seperti Zoom untuk mengadakan mesyuarat parti,” katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat PKR dan ahli Parlimen Bayan Baru.
“Sebelum ini, perwakilan Sabah dan Sarawak terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi untuk hadir mesyuarat di Kuala Lumpur. Namun kini kehadiran penuh sejak beralih kepada dalam talian.
“Malah kita juga boleh mencapai audiens lebih ramai berbanding ceramah biasa. Pada pilihan raya umum akan datang, ceramah akan akan disiarkan secara langsung ke telefon pintar.”
Berkempen lebih murah dalam tempoh PKP
Bagi Bersatu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan tempoh yang sukar kepada mereka yang bertanding untuk jawatan majlis tertinggi parti, kata Ulya Husamddin.
Namun, ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu percaya mereka telah menemui cara yang lebih murah untuk berkempen.
“Sebagai contoh, kita telah membuat panggilan video secara berkumpulan menerusi aplikasi seperti Zoom untuk mencapai kepada ahli akar umbi,” kata Ulya.
“Kita boleh mencapai kepada audiens kita secara langsung.
“Panggilan dibuat dua hala dalam kumpulan kecil yang membuatkan perkongsian masalah dan idea lebih berkesan,” katanya yang juga pemimpin Pemuda Bersatu.
Walaupun tetap merindui untuk bersemuka dengan ahli, Ulya berkata “normal baharu” itu lebih berkesan dan menjimatkan kos.
“Jika dilakukan dengan teratur, kita boleh habiskan ceramah di tiga negeri dalam sehari tanpa perlu melakukan perjalanan dan mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi. Biasanya logistik adalah paling mahal dalam berkempen. Dengan cara ini kita lebih banyak berjimat.
“Wang yang dijimatkan boleh disalurkan kepada tabung kebajikan yang disediakan untuk membantu ahli akar umbi berdepan pandemik.”
Ulya menjangkakan trend ini akan berterusan selepas pandemik Covid-19 berakhir. – 12 Mei, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen