GARIS panduan untuk membuka semula rumah ibadat dibincangkan pagi ini dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kata Menteri hal ehwal agama Zulkifli Mohamad.
Katanya, garis panduan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat khas Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
“Terima kasih kepada Dr Noor Hisham Abdullah atas kesudian untuk meneliti garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan dan surau yang akan dibentangkan dalam (MKI),” katanya di Twitter.
Semua kegiatan keagamaan di rumah ibadat termasuk perhimpunan dan sambutan keagamaan masih dilarang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sejak 4 Mei.
PKPB membolehkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula selepas kadar jangkitan Covid-19 berjaya dikawal dan pasukan kesihatan meningkatkan kemampuan menangani wabak itu.
Ia termasuk operasi kedai judi, menyebabkan timbul kritikan dan cemuhan terhadap PAS – parti kerajaan yang kuat berkempen menentang maksiat tersebut.
Kebenaran untuk sektor itu beroperasi, termasuk kedai judi, diberikan dengan garis panduan dan syarat ketat untuk memastikan jangkitan tidak menular semula.
Semalam, Dr Noor Hisham mengumumkan 39 kes jangkitan baharu dan hanya satu kes import – memberi jumlah 1,584 kes aktif yang berpotensi menjangkiti komuniti.
Sebanyak 6,467 kes dikesan seluruh negara setakat ini. Seramai 4,776 sembuh dan 107 maut. – 8 Mei, 2020.
Komen