PKR tidak pernah iktiraf Perikatan kerajaan sah


Zaim Ibrahim

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata i Majlis Pimpinan Pusat parti dan Biro Politik PKR akan bincang tentang pengiktirafan Perikatan Nasional sebagai kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

PKR tidak pernah mengiktiraf Parikatan Nasional sebagai kerajaan sah dan akan membincangkan sokongan ke atas usul tidak percaya pada Muhyiddin Yassin, kata setiausaha agung parti.

Saifuddin Nasution Ismail berkata ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti dan Biro Politik PKR.

“Keputusan PKR pada dasarnya atas dua prinsip. Pertama, PKR berpegang bahawa ahli Parlimennya bebas untuk mengemukakan apa-apa usul di Parlimen.

“Kedua, PKR tidak pernah mengiktiraf legitimasi Perikatan Nasional sebagai kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua sekretariat Pakatan Harapan (PH) itu berkata PKR, Amanah dan DAP akan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan hal berkaitan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung 18 Mei.

“Biasanya saya akan hubungi ketua-ketua parti PH. Kemudian dapatkan beberapa maklumat dan kita akan keluarkan kenyataan,” katanya.

Saifuddin mengulas notis usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad kepada speaker Dewan Rakyat memohon ketetapan dibuat bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Usul pengerusi Bersatu terhadap Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, jika dibenarkan, dipercayai akan dibentangkan pada 18 Mei ini apabila Parlimen bersidang.

Sidang Parlimen sebelum ini ditetapkan hanya sehari bagi pembukaan penggal oleh Yang di-Pertuan Agong dan urusan kerajaan, termasuk hal perundangan berkaitan pakej rangsangan menghadapi kesan pandemik Covid-19. – 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen