SATU kajian yang dijalankan di hospital di New York mendapati tiada bukti bahawa ubat anti malaria hydroxychloroquine berkesan ataupun membahayakan pesakit Covid-19 yang kritikal.
“Risiko intubasi dan kematian tidak menunjukkan ketara lebih tinggi atau rendah terhadap pesakit yang diberi hydroxychloroquine berbanding mereka yang tidak diberi ubat berkenaan,” menurut laporan kajian itu.
Laporan diterbitkan di The New England Journal of Medicine semalam.
“Dapatan kajian juga tidak boleh digunakan untuk melihat sama ada rawatan menggunakan hydroxychloroquine memberikan manfaat atau membahayakan penggunanya.
“Bagaimanapun, kajian kami tidak menyokong penggunaan hydroxychloroquine yang digunakan secara rawak ketika ini untuk menguji keberkesanannya.”
Presiden AS Donald Trump berulang kali menyebut penggunaan hydroxychloroquine yang dikatakan sesuai bagi rawatan pesakit Covid-19.
Hydroxychloroquine dan sebatian chloroquine sejak beberapa dekad lalu telah digunakan untuk merawat malaria, juga untuk pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan rheumatoid arthritis.
Kajian di hospital New York dijalankan ke atas pesakit di bilik kecemasan di New York-Presbyterian Hospital dan Columbia University Irving Medical Center. Kajian dibiayai oleh National Institutes of Health.
Seramai 811 pesakit diberi dua dos 600mg hydroxychloroquine pada hari pertama dan 400mg selama empat hari seterusnya.
Manakala sekumpulan 565 pesakit lagi tidak diberi ubat berkenaan.
Kajian mendapati hasil perbandingan antara dua kumpulan itu menunjukkan tiada hubungan ketara sama ada antara hydroxychloroquine dengan intubasi atau kematian. – AFP, 8 Mei, 2020.
Komen