Rakyat mengadu tambang AirAsia mahal, kata Bung Moktar


Jason Santos

AHLI Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin mempertahankan dakwaannya yang AirAsia mengenakan tambang lebih mahal kepada pengguna ketika waktu puncak, mengatakan beliau menerima aduan daripada rakyat di kawasan diwakilinya.

“Okay, saya dah kata, syarikat penerbangan tak boleh nafikan fakta ini, kerana penerbangan tambang murah perlu sediakan penerbangan murah. Tetapi setiap kali waktu puncak seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya, AirAsia tak murah.

“Mereka naikkan tambang mereka lebih dua kali ganda dan di Parlimen, saya sudah jelaskan yang tambang waktu puncak untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sandakan (boleh) mencecah RM2,000. 

“Mengapa tidak, orang dikenakan bayaran RM1,780. Bukankah RM1,780 dah dekat RM2,000?” katanya.

Bung turut memberitahu The Malaysian Insight yang perjalanan sehala semahal itu berlaku ketika sambutan Hari Raya lepas.

Katanya, AirAsia juga mempunyai pelbagai caj termasuklah yang tersembunyi kepada pengguna seperti kos penggunaan kerusi roda.

“Saya juga dah beritahu yang saya sangat kecewa bila seorang penumpang lewat 10 minit dan diberitahu supaya beli tiket baru.

“Di manakah tanggungjawab sosial mereka (AirAsia) ketika itu?” soalnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar menafikan dakwaan Bung, mengatakan yang harga tiket termahal hanyalah RM1,180 ketika penerbangan beroperasi pada tahap 100%.

Katanya juga tiada “caj tersembunyi” kerana pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih perkhidmatan tambahan yang disediakan dan kos tambahan yang dikenakan.

CEO Kumpulan Tony Fernandes juga menyelar Bung menerusi Twitter kerana kritikan terhadap syarikat penerbangan tambang murah miliknya itu. – 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen