PUTRAJAYA belum memasuki fasa penyelesaian dalam memerangi Covid-19 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa hingga 12 Mei, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa apa yang mereka lakukan sekarang adalah melaksanakan PKPB untuk memulihkan ekonomi.
“Kami telah memperketat kawalan di sempadan dan telah mengambil langkah-langkah lain dan mematuhi peraturan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Tetapi, kita masih belum sampai ke tahap strategi keluar, kerana kita masih di bawah PKPB,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Beliau memberikan maklum balas terhadap pertubuhan kesihatan dunia itu yang menasihati negara-negara yang melonggarkan sekatan untuk melakukannya dengan hati-hati atau ia akan menyebabkan risiko kes baharu meningkat dengan cepat.
Dr Noor Hisham berkata bahawa pihak berkuasa harus terus memantau keadaan selama dua minggu ke depan untuk melihat sama ada penularan virus itu dapat dikawal.
“Untuk sekarang ini dapat dikawal. Jika kita dapat terus kawal penularan dan pertahankan dua digit (kes) atau jika ada penurunan kes, mungkin kita akan buka lebih banyak sektor.
“Kita harus memantau situasi dengan ketat sebelum kita dapat ambil tindakan untuk strategi penyelesaian.
“Semua ini masih dalam tahap perancangan. Yang penting ialah kita harus pantau dengan teliti dan mengawal kes.”
Dr Noor Hisham berkata, 74 kes pulih dicatatkan dalam 24 jam terakhir, hampir sekali ganda jumlah kes baru.
Beliau berkata terdapat 39 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keselruhan kes menjadi 6,467.
Dari kes baharu yang dicatatkan, 30 adalah warga asing.
Jumlah kematian akibat koronavirus di Malaysia masih kekal 107 orang kerana tidak ada kematian baharu yang dicatatkan hari ini. – 7 Mei 2020.
Komen