Kedai gunting rambut masih tak dibenar beroperasi, kata KP Kesihatan 


Noel Achariam

Kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan kerana risiko jangkitan covid-19 masih tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

KEDAI gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi kerana terdapat laporan di luar negara berlaku jangkitan Covid-19 antara tukang gunting dan pelanggan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan dikesan melibatkan mereka yang mendapatkan khidmat gunting rambut di Amerika Syarikat dan Jepun.

“Kita akan memantau situasi ini dengan lebih dekat sebelum membenarkan kedai gunting rambut beroperasi.

“Kita telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat pada 4 Mei dan dua minggu akan datang kita akan memantau perkembangan kes untuk melihat sama ada terdapat peningkatan atau tidak,” katanya pada sidang media harian situasi Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan kes sebelum memutuskan untuk membuka lebih banyak sektor.

“Bagi kedai gunting rambut dan sektor lain, kita masih perlu pantau situasi sebelum membenarkan mereka beroperasi dalam masa terdekat.”

Menurut beliau, 74 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam, hampir dua kali ganda berbanding kes baharu.

Katanya, terdapat 39 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 6,467.

Daripada jumlah kes baharu itu, 30 adalah warga asing.

Jumlah kematian akibat koronavirus di Malaysia setakat ini kekal 107 kerana tiada kematian direkodkan hari ini. – 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen