JUMLAH kes pulih pesakit Covid-19 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam adalah 74 orang, hampir dua kali ganda jumlah jangkitan baru, kata Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata, 39 kes baharu direkodkan dalam 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan kes menjadi 6,467. 30 kes daripada jangkitan baharu itu adalah warga asing.
Beliau turut berkata tidak ada kematian dilaporkan dalam tempoh itu, menjadikan angka kematian akibat virus itu masih 107 kes di seluruh negara.
Dr Noor Hisham berkata bahawa terdapat peningkatan lapan kes di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) Kuala Lumpur Utara di mana salah satu kes itu berada di luar zon PKPD.
Ini menjadikan jumlah kes positif menjadi 189 di mana 81 daripadanya berada di luar zon PKPD.
“115 warga asing diuji positif dengan satu kematian yang juga warga asing.
“Bagi Selayang Baru tidak ada kes baharu kerana jumlahnya masih 52 dengan 36 warga asing dijangkiti.”
Beliau mengatakan bahawa 30,050 individu yang pulang dari luar negara antara 3 April dan 6 Mei telah dikuarantin.
“Dari jumlah keseluruhan 16,520 orang telah menyelesaikan tempoh kuarantina 14 hari mereka dan 334 orang diuji positif.”
Dr Noor Hisham juga turut menjelaskan bahawa 360 sekolah Madrasah dan Tahfiz telah dikenal pasti.
“16,550 pelajar, guru dan kakitangan telah didaftarkan dan 9,423 daripadanya telah disaring.
“Kami mendapati bahawa 423 individu telah diuji positif untuk Covid-19.” – 7 Mei 2020.

Komen