KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata Mohamed Azmin Ali dan pemimpin persekutuan yang lain perlu bertindak seiring dalam memastikan kebangkitan ekonomi negara “tidak mengorbankan lebih banyak nyawa akibat pandemik”.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon juga mengingatkan Putrajaya dan Azmin, menteri kanan yang bertanggungjawab dalam kluster ekonomi, mengenai keutamaan yang harus diberikan kepada keselamatan orang awam dan pekerja.
Beliau berkata kerajaan pusat seharusnya melakukan lebih banyak rundingan dengan kerajaan negeri sebelum mengumumkan penarikan balik sekatan untuk membolehkan pembukaan sebahagian besar perniagaan mulai 4 Mei.
“Kami tidak faham mengapa lebih banyak perbincangan tidak diadakan antara kerajaan persekutuan dengan negeri untuk memastikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan SOP untuk industri dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Perancangan teliti dan koordinasi lebih baik antara negeri dan Putrajaya sangat penting dalam memulihkan ekonomi sambil meminimumkan risiko kesihatan kepada pekerja dan orang ramai sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada taklimat diberikan para pemimpin negara mengenai PKPB dan status ekonomi pada 28 April - hanya dua hari sebelum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penarikan balik sebahagian PKP dan pengenalan SOP atau garis panduan bagi kebanyakan perniagaan yang dibuka.
Mesyuarat lanjut sepatutnya diadakan pada 30 April untuk membincangkan garis panduan baru bagi industri tertentu tetapi ia tidak berlaku.
Solomon berkata kerajaan tidak boleh memaksa pekerja kembali bekerja tanpa perlindungan yang memadai daripada berdepan “musuh yang tidak kelihatan dan membawa maut”.
Beliau berkata sokongan MTUC terhadap keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan, walaupun sementara, berbanding mematuhi PKPB sepenuhnya adalah “selaras dengan keperluan memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam dan kesihatan jutaan pekerja yang terkesan dengan pembukaan semula perniagaan”.
Beliau menambah, negeri harus diberi waktu, ruang dan fleksibiliti untuk menentukan langkah melaksanakan pembukaan semula.
“Ya, kita perlu memastikan ekonomi bergerak tetapi kita juga perlu menyediakan penyelesaian praktikal di tempat kerja dan kawasan awam untuk melindungi diri kita sendiri dan insan yang disayangi.”
Beliau juga mengecam 58 dewan perdagangan dan persatuan industri kerana mendesak negeri yang tidak patuh dengan pelaksaan PKPB dengan alasan perlunya mengelakkan gangguan pada rantaian bekalan.
Solomon berkata, kenyataan itu berdasarkan pandangan ekonomi, tanpa mengambil kira masalah keselamatan awam di lapangan.
“Dewan yang sama seharusnya segera menyatakan komitmen mereka untuk menjaga kebajikan jutaan pekerja yang diupah anggotanya ketika mereka menerima bantuan kerajaan untuk mengurangi kesan pandemik Covid-19.
“Sayangnya ini tidak berlaku. Sebaliknya majikan terlalu cepat memberhentikan pekerja mereka atau mengenakan pemotongan gaji yang menyedihkan.” – 7 Mei, 2020.
Komen