PEMILIK taman asuhan kanak-kanak atau taska umumnya belum bersedia untuk beroperasi semula kerana tidak sempat mematuhi semua peraturan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh kerajaan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan bermula awal minggu ini.
Pemilik taska juga memerlukan masa untuk mematuhi tatacara menjaga jarak dan kebersihan, menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk terus tutup setakat ini, ketika PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, kata Persatuan Tadika Islam Malaysia.
Setiausahanya, Siti Ruzita Ramli berkata pengusaha taska tidak yakin dapat memastikan keselamatan petugas dan kanak-kanak mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Majoriti tak bersedia sangat sebab pengumuman dibuat pada Jumaat lepas, jadi masa persediaan itu singkat dengan banyak SOP yang kita kena ikut. Jadi terlalu tergesa-gesa untuk pemilik taska.
“Kalau mereka bersedia pun sebenarnya pada habis tempoh PKP pada 12 Mei, itu saya rasa mereka bersedia tapi waktu itu nak dekat raya jadi tak boleh juga, ” katanya kepada The Malaysian Insight.
Taman asuhan kanak-kanak dibenarkan beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula Isnin lalu (4 Mei).
Ia bagi membolehkan ibu bapa yang mempunyai anak dan tiada penjaga kembali bekerja selepas Putrajaya memutuskan untuk menggerakkan semula ekonomi yang terkunci sejak 18 Mac.
Operasi taska di bawah PKPB bagaimanapun ditetapkan mesti mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard yang ketat, yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Antaranya ialah sanitasi premis dua kali sehari, menjaga jarak satu meter serta menggunakan pelitup muka pada sepanjang masa.
Menurut Siti Ruzita peraturan yang paling mencabar bagi pemilik taska ialah memastikan guru dan kanak-kanak menjaga jarak.
“Kita juga bimbang salah satu peraturan yang dikenakan ialah majikan perlu menanggung semua kos rawatan ujian saringan Covid-19 jika pekerja disahkan positif.
“Kita takut juga jika taska dikenal pasti sebagai pembawa kluster baru jadi serta merta taska akan ditutup dan ini akan lagi memudaratkan,” katanya.
Siti Ruzita berkata persatuannya mempunyai kira-kira 1,000 pemilik tadika atau taska dan jagaan kanak-kanak.
Ibu bapa khuatir
Bagaimanapun ada pemilik taska yang bersedia beroperasi semula kerana ingin membantu ibu bapa yang perlu kembali bekerja, dengan keutamaan pada mereka yang di barisan hadapan melawan Covid-19.
Pemilik taska Little Feetrah Child Care Centre Nur Saleemah Zakaria, 37, berkata beliau sedia mematuhi garis panduan ditetapkan.
Nur Saleemah berkata selain membersihkan premis, pihaknya mengadakan perbincangan dengan cikgu untuk memberi pemahaman bagi memudahkan tugas mereka apabila taska dibuka semula.
“Memang nak buka taska tidak mudah dan ambil masa sebab banyak yang perlu dilakukan. Dengan cikgu pun kita terangkan apa proses dan mereka juga diwajibkan untuk membuat ujian kesihatan,” katanya.
Namun tiga dalam empat ibu bapa masih keberatan untuk menghantar anak mereka, katanya.
“Menerusi senarai soalan yang saya buat pada minggu lepas, ibu bapanya rata-rata masih belum bersedia menghantar anak mereka,” katanya.
Bagaimanapun Nur Saleemah tetap mahu membuka taska kerana mahu membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan menjaga anak.
Ditanya bagaimana beliau ingin memastikan murid dan cikgu menjaga jarak, Nur Saleemah berkata beliau akan membahagikan mereka ke dalam kumpulan kecil.
“Cabarannya bila kanak-kanak buat aktiviti dan masa mereka tidur itu pun agak sukarlah tapi kita cuba,” katanya, yang sudah sembilan tahun menguruskan taska di Bangi. – 8 Mei, 2020.
Komen