Korea Selatan kembali normal selepas pandemik berjaya dikawal


Orang ramai kelihatan bersiar-siar di taman tasik di Seoul, Korea Selatan ketika kehidupan seharian perlahan-lahan kembali normal selepas dilanda pandemik Covi-19. – Gambar EPA, 7 Mei, 2020.

KOREA Selatan kembali normal ketika para pekerja mula masuk pejabat pada Rabu, menyaksikan muzium dan perpustakaan dibuka semula di bawah peraturan penjarakan sosial selepas kes koronavirus menurun.

Korea Selatan adalah salah sebuah negara paling awal di luar China dilanda wabak dan walaupun tidak pernah melakukan perintah berkurung wajib, jarak sosial yang ketat dilakukan sejak Mac.

Pekerja seboleh-bolehnya digesa bekerja dari rumah sementara penggal baru persekolahan ditangguhkan sejak Mac.

Banyak acara - dari konsert K-pop hingga musim sukan - ditangguhkan atau dibatalkan, sementara muzium dan galeri ditutup dan perkhidmatan keagamaan ditangguhkan.

Tetapi Korea Selatan dilihat berjaya menangani wabak, kesan program ekstensif “kesan, uji dan rawat” yang mendapat pujian ramai.

Dalam populasi 51 juta, jumlah kematiannya lebih sedikit iaitu lebih 250 orang, dan kes baru menurun kepada 13 dalam tiga hari terakhir, kesemuanya melibatkan penumpang antarabangsa. Lebih 90 kes import Korea Selatan adalah warganegara yang pulang dari luar negara.

Sekurang-kurangnya 100 orang mengunjungi Muzium Nasional Korea di Seoul pada Rabu pagi, dan pengunjung pertama hari itu - pasangan yang sudah berkahwin - diberi sejambak bunga oleh kakitangan.

“Ramai rakan sekerja kami juga kembali bekerja hari ini, jadi kami sangat gembira dengan pembukaan semula, kami sangat gembira,” kata jurucakap muzium Lee Hyun-ju kepada AFP.

Ada juga pekerja yang bercampur baur perasaan mengenai kembali bekerja.

“Saya mahu balik sebaik sahaja saya duduk di meja saya di pejabat hari ini. Tetapi ada juga rasa kestabilan yang pelik,” tulis satu hantaran di Twitter.

Seorang lagi menulis: “Saya rasa cuti saya sekarang sudah berakhir.”

Korea Selatan melaporkan dua jangkitan baru pada Rabu, dengan jumlah keseluruhan 10,806, kata Pusat Kawalan Penyakit Korea.

Beberapa sukan profesional, termasuk bola keranjang dan bola sepak, memulakan musim baru minggu ini selepas ditunda kerana virus, walaupun perlawanan akan berlangsung secara tertutup.

Sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai 13 Mei.

Bagaimanapun, rakyat Korea Selatan masih digalakkan memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan. – AFP, 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen