HAMPIR satu perlima kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) tidak cukup makan sejak wabak koronavirus melanda, menurut kajian dikeluarkan pada Rabu yang memberi perhatian kepada kesan krisis kesihatan yang lebih luas.
Laporan Institusi Brookings berkata, tinjauan mendapati 17.4% ibu dengan anak berusia 12 tahun ke bawah melaporkan anak mereka tidak cukup makan kerana kekurangan wang.
“Jelas anak-anak tiada jaminan makanan sehingga tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya di zaman moden,” kata penyelidik utama, Lauren Bauer.
“Ketiadaan jaminan makanan dalam isu rumah dengan anak berumur di bawah 18 tahun meningkat sekitar 130% dari 2018 hingga hari ini,” tambahnya.
Tinjauan yang bertujuan mengukur kesan pandemik Covid-19 mendedahkan angka lebih buruk daripada semasa krisis kewangan 2008.
Bauer menggambarkan hasilnya sebagai “membimbangkan”, berkata kepada New York Times yang isi rumah mengurangkan saiz pengambilan makanan dan anak-anak dipaksa melangkau waktu makan.
Katanya, program makan sekolah yang terganggu juga boleh menjadi faktor apabila keluarga tidak mengambil makanan dari tempat pengagihan dan anak lebih tua berebut mendapatkan bekalan terhad di rumah.
Bauer menggesa kerajaan meningkatkan program jaminan makanan dan meningkatkan tahap manfaat.
Sekurang-kurangnya 30 juta pekerja Amerika hilang kerja dalam langkah penutupan ekonomi yang dikenakan untuk mengekang penyebaran virus.
Laporan pekerjaan April, yang dijadualkan keluar pada Jumaat, dijangka menunjukkan kadar pengangguran yang melonjak tinggi, mungkin sehingga 20%.
Koronavirus menjangkiti hampir 1.2 juta orang di AS dan membunuh sekitar 72,000 orang, dan para penganalisis bimbang kerosakan ekonomi mungkin dalam tempoh yang lama. – AFP, 7 Mei, 2020.
Komen