RISIKO kematian akibat koronavirus adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi bagi masyarakat etnik kulit hitam dan minoriti di England, menurut analisis akademik data perkhidmatan kesihatan yang dilaporkan pada Khamis.
Kajian oleh University College London (UCL), adalah yang terbaru menunjukkan penyakit Covid-19 dialami etnik minoriti di Britain dan negara Barat yang lain lebih teruk.
Penyelidik UCL mengambil data daripada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang melibatkan pesakit yang positif positif virus dan meninggal di hospital di England dari 1 Mac hingga 21 April.
Mereka mendapati purata risiko kematian adalah “kira-kira dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi” bagi kumpulan etnik minoriti kulit hitam, Asia dan lain-lain jika dibandingkan dengan populasi umum.
Risiko kematian bagi warganegara Pakistan adalah 3.29 kali lebih tinggi, bagi individu berkulit hitam dengan latar belakang Afrika 3.24 kali lebih tinggi dan 2.41 kali lebih tinggi bagi keturunan Bangladesh.
Komuniti Black Caribbean berisiko 2.21 kali ganda lebih tinggi, dan kumpulan India 1.7 kali ganda.
Sebaliknya para penyelidik, yang menganalisis 16,272 kematian akibat virus itu dalam tempoh kajian mendapati risiko kematian yang lebih rendah bagi populasi kulit putih di England.
“Ia menunjukkan kematian Covid-19 secara tidak proporsional lebih tinggi pada kumpulan etnik kulit hitam, Asia dan minoriti,” kata Delan Devakumar, penulis bersama kajian UCL.
“Sangat penting untuk mengatasi faktor risiko sosial dan ekonomi yang mendasari dan halangan penjagaan kesihatan yang menyebabkan kematian tidak adil ini.”
Analisis itu, yang sedang menunggu tinjauan selanjutnya, susulan kajian Britain baru-baru ini yang menunjukkan penduduk di kawasan miskin - biasanya lebih ramai penduduk etnik minoriti - dijangkiti virus ini.
Angka dari Office of National Statistics (ONS) mendapati kadar kematian Covid-19 di kawasan paling miskin di England adalah 118% lebih tinggi berbanding lokasi yang lebih kaya.
Satu lagi penilaian oleh kumpulan pemikir Institut Kajian Fiskal (IFS), mendapati kadar kematian hospital yang lebih tinggi bagi mereka yang berasal dari latar belakang etnik minoriti berbanding komuniti berkulit putih. – AFP, 7 Mei, 2020.
Komen