Gelandangan sentiasa diberi makan, kata DBKL


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Terdapat 633 orang di 10 pusat perlindungan di seluruh ibu kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur menafikan dakwaan yang gelandangan di pusat perlindungannya tidak diberikan makan selepas fasa awal perintah kawalan pergerakan kerana tiada lagi pembiayaan kerajaan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain memberitahu The Malaysian Insight dakwaan itu tidak benar kerana gelandangan tersebut diberi makan oleh kumpulan masyarakat sivil sejak sebelum dibawa ke pusat perlindungan.

“Malam sebelum gelandangan dibawa ke pusat perlindungan, kumpulan sukarelawan dan badan kebajikan beri mereka makan,” kata Anwar.

“Mereka tawar diri beri makan kepada gelandangan di pusat perlindungan dan kami benarkan mereka.”

Anwar menambah, sekiranya badan kebajikan itu tidak dapat menyediakan makanan kepada gelandangan, DBKL akan membantu.

“Kami ada rancangan. Kami akan guna dana DBKL untuk gelandangan dan tuntut semula dari kerajaan.

“Ini dibuat untuk semua perbelanjaan gelandangan yang boleh dituntut semula.”

Anwar berkata sejak bermulanya PKP, 15 kumpulan masyarakat sivil dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan makanan kepada gelandangan tersebut.

“Mereka diberi makan sejak hari pertama PKP.”

Pada masa sekarang, terdapat 633 orang di 10 pusat perlindungan di seluruh ibu kota.

Tambahnya lagi, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut berada di pusat itu untuk membantu.

Gelandangan tersebut akan berada dibawah jagaan DBKL sehingga PKP berakhir 12 Mei. Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuat keputusan mengenai kumpulan itu selepas tarikh itu.

Gelandangan tersebut dikutip daripada jalanan ketika fasa awal PKP yang dikuatkuasa Putrajaya untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Pada Isnin, beberapa kelonggaran diberikan bagi membolehkan kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula selagi mana garis panduan kesihatan dipatuhi.

Malaysia setakat ini melaporkan 6,428 kes Covid-19 dengan 107 kematian. – 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen