Hanya 14% pekerja berdaftar dengan Sosco jalani saringan Covid-19


Pekerja kesihatan memakai pakaian pelindung diri (PPE) berehat semasa pemeriksaan Covid-19 di pasar basah Pudu di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

SEJAK dilancarkan pada penghujung April, 44,500 daripada hampir 300,000 pekerja yang berdaftar sudah menjalani saringan Covid-19 di bawah skim ujian yang ditaja oleh Perkeso, kata Kementerian Sumber Manusia.

Hasil ujian pada 4 Mei menunjukkan seramai 5,120 pekerja tidak dijangkiti Covid-19, kata menteri M Saravanan.

Kenyataan akhbarnya tidak menyatakan status ujian yang tinggal atau keputusan yang masih belum diketahui.

Ujian dilakukan menggunakan Teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Ujian dilakukan di 39 lokasi di seluruh negara termasuk penggunaan unit bergerak.

Ujian Covid-19 secara percuma atau program saringan Prihatin Socso bermula pada 27 April dan hanya untuk pekerja yang majikannya berdaftar dengan dana tersebut.

Saravanan berkata majikan boleh mendaftarkan pekerjanya untuk diuji secara berkumpulan atau sebagai individu.

Ujian berkumpulan memerlukan majikan menyerahkan nama pekerja ke klinik panel Perkeso sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ujian dilakukan.

Keputusan ujian akan dikeluarkan untuk pekerja individu.

Kementerian Kesihatan hanya akan diberitahu sekiranya keputusan ujian positif. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen