Kes Covid-19 di India hampir cecah 50,000


Seorang doktor mengambil sampel swab Covid-19 ke atas seorang wanita di New Delhi, India. – Gambar EPA, 6 Mei, 2020.

KES Covid-19 di India pada Rabu meningkat kepada hampir 50,000 menyaksikan negeri barat Gujarat dan Maharashtra antara paling teruk terjejas.

Angka korban pula mencecah kira-kira 1,700 orang.

Satu pertiga kes direkodkan di Maharashtra, diikuti lebih 6,000 kes di Gujarat. 

Sementara di New Delhi jumlah jangkitan melebihi 5,000, di Tamil Nadu lebih 4,000 dan Uttar Pradesh kira-kira 3,000 kes. 

Madhya Pradesh dan Rajasthan masing-masing merekodkan lebih 3,000 kes.

India masih di bawah perintah sekatan pergerakan dan sedang berusaha  menangani kesan dihadapi pekerja bergaji hari dan buruh kasar.

Ribuan pekerja migran yang kehilangan sumber pendapatan melakukan demonstrasi di beberapa bandar, menuntut perkhidmatan pengangkutan kembali beroperasi. 

India juga berdepan kemelut apabila banyak perniagaan mengalami kerugidan dan berlakunya masalah rantaian bekalan. – Bernama, 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen