DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menjelaskan yang restoran dengan lesen perniagaan dan arak dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), lapor akhbar The Star.
Datuk Bandar KL Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata mereka dibenarkan buka sekiranya mempunyai lesen bersesuaian dikeluarkan DBKL.
“Jika mereka ada lesen kedai DBKL dan lesen jual arak dari Jabatan Kastam, mereka boleh buka untuk berniaga,” katanya dipetik berkata.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata pub dan restoran menjual arak tidak dibenarkan buka sepanjang PBPB.
Katanya, kementerian menerima aduan daripada orang bukan Islam yang premis sebegitu beroperasi sehingga malam.
“Pub restoran yang minuman keras kita dapat laporan aduan dari rakan bukan Islam yang kata penjarakan sosial tidak dipatuhi.
“Kita buat keputusan restoran pub yang jual minuman keras tidak boleh beroperasi,” katanya
Katanya, operasi unit penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam mendapati daripada 91 premis perniagaan yang diperiksa, 36 atau 30 % tidak mengamalkan penjarakan sosial.
Beliau berkata 48 premis pula didapati gagal meletakkan tanda penjarakan sosial dan 28 lagi tidak menyediakan pencuci tangan nyah kuman.
“Manakala sebahagian premis lagi tidak menyediakan PPE kepada pekerja mereka,” kata Annuar lagi.
Nor Hisham hari ini turut berkata yang semua premis perniagaan yang dibuka ketika PKPB masih perlu mematuhi syarat dan garis panduan dikeluarkan kerajaan.
Beliau juga menjelaskan yang premis perniagaan dengan lesen hiburan seperti pub, bar dan kelab malam masih tidak boleh dibuka.
Tambahnya, restoran, gerai, medan selera, gerai tepi jalan, trak makanan, gerai bergerak, gerai sementara tepi jalan juga dibenarkan beroperasi daripada jam 7 pagi sehingga 10 malam.
PKPB yang akan berakhir pada 12 Mei dikuatkuasa masih dengan matlamat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, tetapi pada masa sama membenarkan aktiviti ekonomi dibuka dengan mematuhi syarat dan peraturan dikeluarkan kerajaan seperti standard kesihatan lebih tinggi dan penjarakan sosial yang perlu diamalkan. – 6 Mei, 2020.
Komen