RUSIA mencatatkan lebih 10,000 kes baharu Covid-19 untuk hari keempat berturut-turut hari ini mengatasi Jerman.
Ia sekali gus menjadikan Rusia negara keenam dengan jumlah jangkitan tertinggi.
Rusia menjadi zon merah virus berkenaan dan dalam beberapa hari terakhir mencatat jumlah jangkitan baharu tertinggi di Eropah.
Pegawai kesihatan hari ini melaporkan 10,559 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 165,929 dengan 1,537 kematian.
Jumlah jangkitan di Rusia meningkat lebih 10,000 sehari sejak Ahad, berbeza dengan negara di Eropah barat
Tempoh kuarantin yang tidak berfungsi berlaku di Rusia hingga 11 Mei dan pihak berkuasa berkata ia akan ditamatkan atau dilanjutkan bergantung kepada sejauh mana wabak di pelbagai wilayah.
Presiden Vladimir Putin akan mengetuai mesyuarat kerajaan untuk membincangkan penamatan perintah berkurung secara berperingkat hari ini.
Moscow muncul sebagai pusat wabak di Rusia mencatatkan 85,973 kes dan 866 kematian.
Walaupun terdapat peningkatan kes yang tinggi, kadar kematian rasmi Rusia tetap rendah berbanding negara lain termasuk Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Pegawai memuji langkah segera untuk menutup sempadan negara dan ujian serta pengesanan jangkitan yang meluas tetapi pengkritik menimbulkan keraguan mengenai jumlah jangkitan. – AFP, 6 Mei, 2020.
Komen