MALAYSIA melaporkan 45 kes baharu Covid-19 hari ini, 44 daripadanya melibatan jangkitan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata data terbaru itu membawa kepada jumlah keseluruhan kes sebanyak 6,428.
Katanya lagi, daripada 44 kes jangkitan tempatan, satu berasal dari kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) walaupun nama kawasan tidak didedahkan.
Satu lagi kematian dilaporkan hari ini melibatkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.
Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 22 April lepas dan meninggal semalam, menjadikan jumlah korban wabak negara kini 107 orang.
Sejumlah 4,702 kes disahkan pulih setakat hari ini, dan hanya 1,619 kes aktif.
Keupayaan perkhidmatan kesihatan juga kini semakin pulih dengan hanya 22 pesakit Covid-19 di ICU dan sembilan menggunakan alat bantuan pernafasan. – 6 Mei, 2020.

Komen