664 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara


664 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara kerana Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

BERDASARKAN maklumat daripada perwakilan Malaysia di luar negara, terdapat 664 lagi rakyat tempatan yang masih terkandas di luar negara setakat hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 190 adalah jemaah tabligh yang sedang ditahan dan dikuarantin di India iaitu New Delhi seramai 158, Chennai (23) dan Mumbai (sembilan).

“Seramai 55 orang daripada jumlah keseluruhan tabligh itu telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India.

“Kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di India masih menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada semua jemaah tabligh yang terlibat dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara termasuklah bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan asas harian,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Wisma Putra Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan sedang mengusahakan urusan mengeluarkan jemaah tabligh yang masih berada di pusat kuarantin bagi membolehkan urusan membawa mereka pulang ke Malaysia berjalan lancar.

Sementara itu, Kamarudin berkata, 14,015  rakyat Malaysia dari 70 buah negara telah dibawa pulang sehingga hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Luar sentiasa prihatin terhadap keadaan rakyat Malaysia, termasuk pelajar Malaysia di luar negara dan pelbagai usaha telah dijalankan untuk membantu rakyat mereka yang terkesan seperti menyampaikan bantuan konsular sewajarnya. 

“Sekiranya terdapat keadaan memerlukan, ia memudahkan proses repatriasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat penularan pandemik Covid-19 ke tanah air,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya warga tempatan di luar negara untuk terus berkomunikasi dengan pejabat Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini di samping melaporkan keadaan kesihatan, keselamatan dan persekitaran di kawasan penginapan agar bantuan sewajarnya dapat dihulurkan.

Berkenaan pelajar di Rusia, beliau berkata Kementerian Luar menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Rusia telah mengaktifkan pasukan petugas khas Covid-19 di peringkat kedutaan bagi membantu rakyat Malaysia meninggalkan negara itu sebelum penutupan sempadan dan pembatalan penerbangan komersial, dengan kumpulan terakhir berjaya terbang keluar pada 31 Mac lepas.

“Kita juga telah mengaktifkan jaringan perhubungan dengan semua komuniti rakyat Malaysia di Rusia, termasuk komuniti pelajar di Moscow, Crimea, Kazan, Kamchatka, Kursk, Nizhnevartovsk, Nizhny Novgorod, Sabetta, Sakhalin, St. Petersburg, Tomsk, Volgograd, dan lain-lain lokasi di seluruh Rusia.

Menurutnya, kerajaan tiada halangan sekiranya ada dalam kalangan warga Malaysia bercadang untuk keluar dari Rusia dengan cara persendirian, contohnya melalui penerbangan sewa khas dengan tanggungan sendiri dan Wisma Putra akan membantu memudahkan urusan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan bekerjasama rapat dengan Depot Tindak Balas Kemanusiaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRD) dan Program Makanan Dunia (WFP) bagi mengekang Covid-19 di peringkat antarabangsa.

“Antara rancangan WFP yang akan dijalankan di Malaysia ialah penyatuan kargo untuk kit kebersihan  yang diimport oleh pihak WFP-UNHRD di Malaysia dan dieksport semula sebagai bantuan kepada negara lain.

Jelasnya lagi, susulan perbualan telefon antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 6 April lepas, kerajaan akan menghulur sumbangan kepada Palestin bagi membantu menangani pandemik Covid-19 di negara itu.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Perusahaan Perladangan Komoditi serta Pertubuhan Amal THZ.

“Sumbangan ini akan disalurkan kepada Palestin melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dengan kerjasama Kedutaan Besar Palestin di Amman, Jordan.

“Menerusi penerbangan ini juga, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India dalam usaha menguruskan persiapan terakhir bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Jordan dan India,” katanya. – Bernama, 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen