Industri hotel di Pahang rugi lebih RM500 juta kerana PKP


Kerugian itu disebabkan hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang yang menawarkan lebih 38,000 bilik tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana penguatkuasaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

INDUSTRI perhotelan di Pahang mencatat kerugian pendapatan lebih RM500 juta sejak penguatkuasaan empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau berkata kerugian itu disebabkan hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang yang menawarkan lebih 38,000 bilik tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Katanya pengusaha hotel bajet juga kehilangan pendapatan kira-kira RM60 juta ekoran pandemik itu.

“Industri pelancongan ini adalah industri yang rugi sepenuhnya berbanding industri lain kerana semua orang tidak dapat bergerak sepanjang pelaksanaan PKP yang dibuat untuk membendung penularan Covid-19.

Kita juga menjangkakan industri ini hanya boleh kembali pulih seawal-awalnya pada suku ketiga tahun hadapan kerana aktiviti perhimpunan ramai termasuk pelancongan tidak digalakkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas PKP ditamatkan,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas Pengumuman Pemenang Pertandingan Video Pendek ‘Pahang Simply Awesome’ anjuran Tourism Pahang sempena Visit Malaysia 2020 di Kuantan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Sharkar menggesa rakyat untuk melancong dalam negara selepas disahkan selamat untuk berbuat demikian, bagi membantu memulihkan industri pelancongan selain meningkatkan ekonomi Malaysia dan penduduk setempat di kawasan tarikan pelancongan.

Beliau berkata lebih 1,000 pemain industri pelancongan di Pahang khususnya yang memperoleh pendapatan harian seperti pemandu pelancong dan pemandu bot di Taman Negara yang terkesan ekoran PKP dibantu menerusi pengagihan barang keperluan dan wang tunai.

Pada pertandingan itu, Aereon Wong Seng Yue dari Cheras, Selangor yang merakam video di beberapa lokasi pelancongan di Temerloh diumum sebagai juara bagi bulan Februari yang membolehkan beliau memenangi wang tunai RM3,000.

Mohd Sharkar berkata pertandingan bagi mempromosi lokasi pelancongan menarik di Pahang yang dijadual berlangsung setiap bulan sehingga penghujung tahun ini juga ditangguhkan sehingga PKP tamat. – Bernama, 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen