JABATAN Imigresen menahan 70 gelandangan warga asing yang sebelum ini diletakkan di penempatan sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain berkata seorang warga asing ditahan polis atas kesalahan berkaitan dadah.
Menurut Anwar, seramai 70 gelandangan warga asing itu ditahan pada 30 April lalu lalu tetapi tidak beliau tidak tahu perkembangan mereka selepas diambil oleh Jabatan Imigresen.
Mereka adalah antara ratusan gelandangan yang dibawa ke penempatan gelandangan sementara semasa PKP.
PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac dan dijadual tamat para 12 Mei ini.
Penempatan Sementara Gelandangan Alam Damai di Cheras menempatkan 71 warga asing dari 18 negara, yang terdiri dari 56 lelaki dan 15 wanita termasuk tiga kanak-kanak.
Gelandangan dari Myanmar paling ramai iaitu seramai 23 orang, diikuti Indonesia (21) dan India (6).
Selain itu, ada juga gelandangan dari United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Somalia.
Anwar berkata sepanjang berada di penempatan sementara DBKL, setiap gelandangan diberi makan enam kali sehari, yang ditaja oleh Kembara Kitchen.
Ketika ini DBKL menempatkan 633 gelandangan di 10 penempatan sementara.
Tambah beliau, 28 orang sudah kembali ke pangkuan keluarga manakala sembilan dibawa ke pusat pemulihan dadah.
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 6,388 kes Covid-19 dengan 106 kematian. – 6 Mei, 2020.
Komen