DBKL berjaya satukan kembali 28 gelandangan dengan keluarga


Ravin Palanisamy Noel Achariam

Gelandangan warga emas dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang berada di pusat perlindungan sementara DBKL akan diserahkan kepada JKM selepas PKP berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

SEBANYAK 28 gelandangan dari pusat perlindungan sementara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya disatukan semula dengan keluarga mereka, kata Anwar Mohd Zain.

Pengarah jabatan pembangunan masyarakat dan kesejahteraan bandar DBKL, berkata pada masa ini terdapat 633 gelandangan di 10 tempat perlindungan sementara.

Beliau berkata dengan maklumat yang diberikan, pihaknya berusaha menyatukan mereka dengan keluarga.

“Setakat ini 28 orang telah pulang bersama keluarga yang datang menuntut mereka.

“Kami juga berusaha menghubungi keluarga orang lain di sini, agar dapat menyatukan kembali mereka juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anwar berkata dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jumlah keluarga yang tampil ke depan sangat menggalakkan dan berharap lebih ramai dapat bersatu kembali dengan keluarga mereka.

Katanya, jika usaha menyatukan mereka dengan keluarga tidak berhasil, maka warga emas dan kanak-kanak di bawah umur di tempat perlindungan sementara akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kami berusaha sedaya upaya mencari keluarga mereka tetapi jika tidak berjaya, golongan berumur lebih 60 tahun dan di bawah 18 tahun akan diserahkan kepada JKM.

“Mungkin, warga emas akan dihantar ke rumah orang tua dan anak di bawah umur ke tempat perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Bulan lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata gelandangan yang ditempatkan di tempat perlindungan DBKL akan diberi peluang pekerjaan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) ditarik balik.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata mereka akan disaring dan mengikuti kursus latihan khusus agar dapat bekerja sama ada di sektor swasta atau DBKL.

Ketika ditanya mengenai hal itu, Anwar berkata Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sudah memulakan temuduga dengan para gelandangan semalam untuk pekerjaan sesuai di beberapa syarikat swasta, sementara DBKL juga akan memulakannya tidak lama lagi.

Beliau berkata mereka yang terpilih untuk bekerja akan disediakan tempat tinggal oleh majikan seperti disebutkan oleh menteri.

Selain mereka, Anwar berkata sembilan gelandangan dari tempat perlindungan dibawa oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk rawatan dan pemulihan.

Beliau juga berkata gelandangan akan berada di bawah jagaan DBKL sehingga tempoh PKP berakhir dan Pusat Pengurusan Krisis dan menteri akan memutuskan apa yang akan berlaku kepada mereka selepas itu.

PKP yang bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, akan berakhir pada 12 Mei. Ketika ini, kerajaan melonggarkan sekatan untuk membenarkan kebanyakan sektor ekonomi kembali beroperasi dengan syarat peraturan keselamatan dan keselamatan dipatuhi.

Malaysia setakat ini mencatatkan 6,386 kes koronavirus dan 106 kematian. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen