KKM buat laporan polis nafi pegawai menteri ditahan SPRM


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) membuat laporan polis terhadap beberapa akaun media sosial kerana mendakwa pegawai menteri dan kementerian ditahan oleh agensi anti rasuah untuk disiasat berhubung dakwaan salah laku dalam perolehan kementerian.

Laporan dibuat terhadap dua akaun Facebook atas nama Teuke Shafiz Rullah dan Steadyku47, serta satu akaun Twitter atas nama @fadzillahmamat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, kata kementerian dalam satu kenyataan.

“Kementerian Kesihatan melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut,” kata kenyataan itu.

Tiga akaun media sosial berkenaan dikatakan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian, berhubung dakwaan kontrak perolehan kementerian.

“Posting itu antara lain mendakwa Menteri Kesihatan juga terlibat dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian laporan polis dibuat supaya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menyiasat pemilik akaun media sosial yang dinamakan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Semalam, The Malaysian Insight melaporkan sumber SPRM berkata agensi anti rasuah sedang menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak kelengkapan sistem makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta di sebuah kementerian yang tidak dinamakan.

Sumber berkata pasukan penyiasat sudah ke kementerian itu minggu lepas, dengan fokus siasatan bertumpu pada ketelusan penganugerahan kontrak tersebut.

SPRM memulakan siasatan itu selepas mendapat maklumat mengenai pemberian kontrak selain beberapa maklumat di media sosial.

Minggu lalu, peguam Wee Choo Keong meminta Kementerian Kesihatan bersikap telus berhubung kontrak perolehan melibatkan usaha melawan Covid-19, yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan sut peralatan perlindungan diri (PPE).

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba juga mengumumkan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan agensi rasuah bagi memastikan kementeriannya bersih dan berintegriti, ketika ada desas-desus pegawai di kementeriannya disiasat oleh SPRM.

Awal hari ini, The Malaysian Insight juga melaporkan SPRM sudah memanggil lima syarikat kontraktor bagi membantu siasatan. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen