SARAWAK akan membuka semula aktiviti ekonomi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi tidak mengikut syarat Putrajaya, kata Douglas Uggah.
Timbalan ketua menteri itu berkata kerajaan negeri tidak mahu terburu-buru membuka semula ekonomi kerana kesihatan awam merupakan kepentingan paling utama.
Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai tiga strategi berperingkat untuk membolehkan kilang dan perniagaan menyambung semula operasi.
“Kerajaan negeri mahu memastikan aktiviti yang tidak dilarang semasa PKPB akan beroperasi dengan lancar serta tidak menjejaskan keselamatan awam.
“Kita mempertimbangkan isu ekonomi tetapi kesihatan adalah keutamaan kami,” kata Uggah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Beliau mengulas amaran Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali tentang tindakan yang akan diambil terhadap kerajaan negeri yang ingkar arahan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan PKPB.
Di bawah PKPB yang diumumkan minggu lalu, hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi bermula 4 Mei dengan mematuhi syarat-syarat ketat bagi mengekang Covid-19.
Azmin berkata PKPB diwartakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 (Akta 342) dan meliputi semua negeri.
Uggah berkata Sarawak juga mempunyai kuasa mengikut Seksyen 15 Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1998.
Uggah berkata Ordinan itu digubal mengikut kuasa yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual Kesembilan.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak akan mengeluarkan syarat dan garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai.
Aidilfitri dijangka disambut pada 24 atau 25 Mei, manakala Gawai pada 1 Jun.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan sama ada rumah panjang yang kebanyakannya terletak dalam zon hijau boleh menyambut Gawai.
Unggah berkata garis panduan tersebut bagi memastikan kerajaan negeri terus berjaya dalam mengekang penularan Covid-19 yang sudah membunuh 17 orang dan menjangkiti 525 orang di negeri itu.
Tetapi, kebanyakan kawasan negeri terutama di pedalaman adalah zon hijau- iaitu kawasan yang tidak merekodkan kes Covid-19. – 5 Mei, 2020.
Komen