TIADA premis atau pemilik perniagaan akan didenda jika gagal mematuhi standard prosedur operasi (SOP) di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Buat masa ini pihak kementerian memberi masa kepada mereka untuk menyesuaikan diri dan berharap mereka sukarela dapat menambahbaik SOP berkenaan, katanya.
“Melalui pemerhatian (semalam) kita harap pemilik perniagaan boleh perbaiki.
“Tidak ada denda atau tutup perniagaan, cuma kita harap ada satu bentuk sukarela pemilik perniagaan… sementara tempoh PKPB ini masih ada, kita harap amalan SOP juga dapat diperbaiki,” katanya pada sidang media yang disiar secara langsung di Facebook.
Katanya, operasi unit penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam mendapati daripada 91 premis perniagaan yang diperiksa, 36 atau 30 % tidak mengamalkan penjarakan sosial.
Beliau berkata 48 premis pula didapati gagal meletakkan tanda penjarakan sosial dan 28 lagi tidak menyediakan pencuci tangan nyah kuman.
“Manakala sebahagian premis lagi tidak menyediakan PPE kepada pekerja mereka,” katanya.
Restoran jual arak tutup
Pada masa sama, Annuar berkata restoran yang menjual minuman keras tidak akan dibenarkan beroperasi dibawah PKBP
Jelas beliau, restoran yang menjual minuman keras termasuk dalam kategori pusat hiburan sama seperti pusat karoke yang termasuk dalam senarai negatif atau tidak boleh beroperasi .
Menteri itu berkata hasil aduan dari orang ramai juga mendapati kebanyakan restoran tersebut yang beroperasi semalam gagal mematuhi SOP penjarakan sosial.
“Pub restoran yang minuman keras kita dapat laporan aduan dari rakan bukan Islam yang kata penjarakan sosial tidak dipatuhi.
“Kita buat keputusan restoran pub yang jual minuman keras tidak boleh beroperasi,” katanya
Semalam hampir sebahagian besar sektor ekonomi kembali beroperasi selaras dengan pelaksanaan PKPB yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas. – 5 Mei, 2020.
Komen