Hanya 30 kes baharu Covid-19, angka terendah sejak PKP


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 di Pasar Pudu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Mei, 2020.

MALAYSIA hari ini mencatatkan kes baharu Covid-19 paling rendah dengan 30 kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata semua kes terbaharu yang dikesan setakat tengah hari ini melibatkan hanya tiga negeri iaitu Selangor (5) dan Sarawak (2), dan Kuala Lumpur (23).

Katanya tiada kes import dilaporkan hari ini dan kesemua 30 kes melibatkan penularan tempatan tetapi 24 daripadanya membabitkan warga asing.

“21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini, seramai 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 8 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Setakat ini, Malaysia merekodkan keseluruhan kes 6,383.

Satu kematian turut dilaporkan hari ini, melibatkan seorang lelaki berusia 47 tahun yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Angka kematian kini mencecah 106 orang.

Sebanyak 83 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari Covid-19 sebanyak 4,567 kes (71.55% daripada jumlah keseluruhan kes). – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen