Sabah umum longgar sekatan PKP 12 Mei nanti, kata Shafie Apdal


Sabah setakat ini kekal tidak melonggarkan sekatan sedia ada untuk terus membendung penularan Covid-19. Gambar saringan Covid-19 di Kota Kinabalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

SABAH akan mengumumkan keputusan untuk melonggarkan kawalan pergerakan pada 12 Mei ini, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, mengikut jadual asal perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kemudiannya dilonggarkan oleh Putrajaya bermula semalam.

Katanya, Sabah setakat ini kekal tidak melonggarkan sekatan sedia ada untuk terus membendung penularan Covid-19.

Shafie berkata kerajaan negeri pada masa sama akan bersiap sedia mengatur pelan untuk menggerakkan semula ekonomi negeri.

“Kita (kerajaan Sabah) sangat berhati-hati. Setiap sektor yang akan beroperasi (pada PKPB) ini perlu ada persediaannya terutama sektor penting termasuk makanan, pengangkutan, perkhidmatan, serta industri minyak dan gas.

“Tidak boleh katakan, hari ini diumumkan (PKPB), kita pun ikut (tanpa sebarang) persediaan. 

“Atas sebab itu, saya melihat perkara ini perlu diteliti secara mendalam,” katanya, seperti dipetik Bernama, hari ini.

Menurut Shafie, Sabah bukan hendak bergaduh dengan Putrajaya, apabila tidak bersama-sama melonggarkan sekatan untuk membuka semula ekonomi.

Namun katanya, fokus Sabah sekarang ialah membendung penularan Covid-19.

“Ini bukan waktunya kita nak gaduh tentang siapa ada kuasa,” katanya, merujuk kepada kenyataan menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali semalam, menegur negeri-negeri yang tidak selari dengan Putrajaya.

Semalam, hanya tiga Wilayah Persekutuan dan tiga negeri – Perlis, Melaka, dan Terengganu – melonggarkan PKP sementara negeri-negeri lain sama ada mengubah suai kelonggaran itu atau menangguhkan pelaksanaannya.

Azmin dalam satu kenyataan panjang lebar berkata tindakan negeri yang tidak selari dengan Putrajaya bertentangan dengan kuasa yang ada pada Persekutuan, malah boleh disaman oleh mana-mana pihak di mahkamah.

“Saya boleh cakap (mengenai undang-undang). Saya pun ahli politik berpengalaman. Di Parlimen berapa undang-undang kita gubal.

“Tetapi, jangan buang masa untuk itu. Kita perlu mara dan kita perlu tangani Covid-19 dan ekonomi. Kita tidak boleh lihat dari segi perniagaan saja, tetapi bukannya nyawa manusia,” katanya, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Shafie juga dipetik berkata beliau lebih takut disaman waris pesakit yang terkorban akibat Covid-19.

“Perniagaan mungkin kita boleh pulihkan, nyawa manusia tidak boleh dipulihkan. Kita tidak boleh menggantikannya selepas mereka meninggal dunia.”

Dalam pada itu Shafie berkata Putrajaya sepatutnya berunding dengan kerajaan negeri sebelum mengumumkan keputusannya.

“Kita hanya mengetahui keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan daripada media massa.

“Kerajaan negeri adalah pihak yang melaksanakan keputusan yang dibuat mereka. Kita harus melihat sama ada ia sesuai dengan keadaan sekeliling di setiap negeri.

“Oleh itu, kita meminta masa untuk persediaan sebelum membuat sebarang pelaksanaan,” katanya. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen