Pekerja asing perlu jalani ujian Covid-19 elak kluster baru, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Penduduk di Jalan Raja Bot beratur untuk menjalani ujian saringan Covid-19 susulan peningkatan kes di kawasan itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 Mei, 2020.

PEKERJA asing perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengelakkan kluster baharu Covid-19 seperti yang dihadapi Singapura, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

“Kita melaksanakan keperluan baharu ini kerana kita bimbang kluster baharu dalam kalangan pekerja asing,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 dalam tempoh tiga hari lalu dan tapak pembinaan Jalan Ampang ditutup selepas 27 pekerjanya positif virus itu.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di negara jiran, Singapura berlaku di Malaysia,” katanya sambil menambah usaha itu akan dimulakan dalam kalangan buruh pembinaan.

Kes jangkitan naik mendadak di Singapura selepas pekerja asing dikesan positif virus itu ketika mereka berkurung di penempatan masing-masing.

Ismail mengulas kebimbangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tentang kos yang perlu ditanggung majikan boleh mencecah RM1 bilion jika mereka mengikut arahan wajib menjalani ujian saringan terhadap semua pekerja asing. 

“Saya berharap MEF faham bahawa usaha yang kita lakukan demi kebajikan rakyat kita,” katanya.

Beliau mengulangi peringatan bahawa perniagaan akan ditutup jika kes positif dikesan di premis terbabit.

Ismail berkata lebih 60% pekerja asing merupakan penyumbang Socso dan dana itu akan digunakan untuk menampung kos saringan tersebut.  – 5 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen