PKPD tidak dikuat kuasa di Chow Kit, Selayang, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Salah seorang anggota tentera yang berkawal di kawasan Jalan Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Chow Kit kerana PKPD yang dikuatkuasa di situ. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Mei, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan di Jalan Raja Bot atau dikenali sebagai pasar Chow Kit dan dua kawasan perumahan di Selayang, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Sebaliknya beliau berkata hanya kawalan pentadbiran yang diperketatkan di kawasan tersebut.

“Belum lagi. Selagi saya tidak maklumkan maka tiada PKPD.

“Tetapi kawalan pentadbiran sudah diperketatkan di sesetengah kawasan,” kata Ismail pada sidang media harian perkembangan semasa Covid-19.

Sambil menafikan beberapa laporan berhubung perkara itu, Ismail berkata walaupun kawat duri dipasang di kawasan terlibat, tidak bermakna PKPD dikuatkuasakan.

Beliau berkata penduduk di kawasan terbabit akan menjalani ujian saringan dan pergerakan di kawasan itu akan dikawal.

Beberapa laporan menyebut ketiga-tiga kawasan itu dikenakan PKPD selepas anggota tentera memasang kawat duri lewat malam semalam. – 5 Mei, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen