Ahli Parlimen Batu akan lawat 2 kawasan PKPD di Selayang


Ragananthini Vethasalam

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran akan melawat Taman Desa Bakti dan Taman Wilayah di Selayang yang diletakkan di bawah PKPD pada jam 2 petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

TAMAN Desa Bakti dan Taman Wilayah di Selayang yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekita jam 1 pagi tadi, kata P Prabakaran.

Ahli Parlimen Batu itu memberitahu The Malaysian Insight beliau akan melawat dua kawasan kediaman itu pada jam 2 petang ini. Prabakaran juga berkata beliau sudah berhubung dengan penduduk.

“Mereka semua sedang risau. Tetapi saya dapat tenangkan sebahagian daripada mereka dan jelaskan yang pengurungan ini untuk kebaikan negara,” katanya.

PKPD turut dikenakan di sekitar Pasar Raja Bot. 

PKPD di tiga kawasan berkenaan dikenakan selepas Putrajaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana sektor industri diberi lampu hijau untuk memyambung semula operasi.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dua hari berkata Malaysia masih menguatkuasa kawalan bersasar dan PKPD dikenakan jika kes meningkat walaupun kelonggaran dibuat melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ismail Sabri semalam berkata PKPD di enam kawasan sekitar Selayang di utara Kuala Lumpur yang sepatutnya tamat semalam dilanjutkan hingga 12 Mei.

Enam kawasan terbabit adalah Parcel C (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara), Parcel D (Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara), Parcel E1 (Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D), Parcel E2 (Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D), Parcel E3 (Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B) dan Parcel F (Taman Batu View and Taman Batu Hampar). 

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, PKPD di Parcel A (Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara) dan Parcel B (Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara), serta Pasar Borong Kuala Lumpur ditamatkan semalam.

Manakala PKPD di Malayan Mansion dan Selangor Mansion, Menara City One dan di kawasan sekitar Masjid India ditamatkan pada Ahad lalu.

“Mereka kini bebas bergerak memandangkan PKPD tamat semalam. Tiada arahan mengenai pendatang tanpa izin, itu sebabnya mereka ditempatkan di depoh tahanan Imigresen,” katanya. 

PKPD di Sekolah Tahfiz An-Nabawiyyah dan kawasan perumahan di Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat turut ditamatkan pada Ahad lalu. – 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen