Negeri ingkar PKPB tanda permusuhan dalaman Perikatan, kata penganalisis


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu mengumumkan PKPB bagi membolehkan hampir semua sektor boleh mula dibuka semula dengan syarat pematuhi SOP bagi bendung penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

KEPUTUSAN negeri yang bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menangguhkan atau enggan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilihat sebagai gejala perbalahan antara parti dalam gabungan pemerintah itu, kata penganalisis.

Permusuhan itu antara tanda bahawa keadaan tidak begitu baik antara Bersatu, parti perdana menteri dan Umno – musuh yang kemudian menjadi rakan kerjasama, yang mempunyai paling banyak kerusi dalam kerajaan PN.

Tricia Yeoh, dari badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata negeri-negeri yang enggan mematuhi arahan Putrajaya adalah di mana Bersatu tidak dominan di situ.

“Jika anda lihat negeri yang tidak setuju dengan PN, mereka adalah negeri yang tidak perlu bergantung pada Bersatu dalam negeri berkenaan,” kata Yeoh dalam satu program ehwal semasa “Consider This” disiarkan di Astro Awani.

“Ia gejala permusuhan politik sedang berlaku dalam gabungan itu,” katanya.

Negeri yang ditadbir PN dan tidak mematuhi arahan Putrajaya ialah Kelantan, yang diketuai PAS; Pahang diketuai Umno dan Sarawak di mana kerajaan negerinya dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), gabungan parti-parti negeri yang berpihak kepada apa juga gabungan yang mentadbir di Putrajaya.

PN terdiri daripada sekutu longgar antara Bersatu, Umno, PAS, GPS dan 10 ahli Parlimen bekas PKR yang ditubuhkan untuk menggulingkan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari menerusi keluar parti dan tindakan yang dirancang.

Negeri-negeri ini berkata mereka tidak mengikut keputusan Putrajaya untuk membuka hampir semua aktiviti perniagaan yang ditutup ketika PKP, sejak 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Kelonggaran sekatan itu, atau dipanggil perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), membenarkan hampir semua sektor beroperasi semula dengan syarat mereka mematuhi prosedur operasi standar untuk membendung penularan Covid-19.

Negeri lain yang turut memutuskan untuk menangguhkan kelonggaran sekatan berkurung ialah Kedah, Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang ditadbir oleh PH. – 5 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen