Doktor di AS bimbang gelombang kedua Covid-19


Ubat antiviral Remdesivir dihasilkan oleh Gilead Sciences dilihat berupaya memendekkan tempoh pemulihan sebilangan pesakit melalui ujian klinikal utama. – Gambar EPA, 5 Mei, 2020.

DOKTOR yang merawat pesakit Covid-19 pertama di Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan terhadap gelombang kedua wabak berkenaan selepas langkah perintah pengurungan ditarik semula.

Pesakit pertama George Diaz yang dirawat pada Januari di Washington sudah pulih selepas menerima rawatan remdesivir, ubat eksperimen yang diluluskan oleh AS pada Jumaat lepas untuk kegunaan kecemasan.

Diaz bagaimanapun berkata langkah pengasingan untuk mengelak penularan tetap menjadi rawatan “paling berkesan” untuk Covid-19.

Sejak kes pertama pada Januari AS sudah mengatasi negara lain dengan jumlah kes tertinggi sekitar 1.2 juta dengan kematian paling banyak sekitar 69,000 orang.

Walaupun ada ramalan jumlah kematian akan semakin meningkat tetapi beberapa negara sudah membuka kembali untuk berusaha meredakan tekanan ekonomi yang menyebabkan 30 juta penduduk AS tidak bekerja dalam masa enam minggu.

“Yang membimbangkan saya ialah ketika ekonomi mulai dibuka semula. Kita akan melihat gelombang kedua yang mungkin sebesar yang pertama yang mana sukar untuk kita dan seluruh dunia tangani.

“Apa yang membimbangkan ialah saya tidak tahu sama ada kita ada sumber daya untuk menangani gelombang kedua,” katanya kepada wartawan pada pertemuan secara rakaman video yang dianjurkan oleh Jabatan Negara.

Ubat antiviral Remdesivir dihasilkan oleh Gilead Sciences dilihat berupaya memendekkan tempoh pemulihan sebilangan pesakit melalui ujian klinikal utama.

Diaz berkata sementara menunggu pengembangan vaksin, remdesivir mampu bertindak melawan virus tetapi dia mengingatkan bahawa ubat itu harus digunakan dengan sebaiknya. – AFP, 5 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen