Banjir surut, peniaga kecil masih bergelut


Looi Sue-Chern

Peniaga kedai perkakasan, Lee Chai Leong di depan premis perniagaannya yang terjejas akibat banjir di Taman Sri Rambai, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 24 November, 2017.- 24 November 2017.

PENGUSAHA perniagaan kecil masih bergelut memulihkan keadaan selepas hampir tiga minggu badai ganas menyebabkan huru-hara di Pulau Pinang.

Ribut yang melanda Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lalu membawa hujan lebat dengan paras air tertinggi dalam sejarah, 372mm, mengakibatkan banjir kilat melanda sebahagian pulau dan tanah besar.

Lebih 100,000 isi rumah di negeri ini terjejas dengan banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang. Tujuh orang juga terbunuh dalam bencana tersebut.

Cuaca kini kembali normal dengan hujan pada beberapa petang dan malam minggu lalu tetapi kebanyakannya cuaca panas pada waktu siang.

Bagi yang menjalankan perniagaan keluarga, ia lebih mencabar kerana mereka perlu membaiki kerosakan di rumah dan kedai mereka.

Pemilik kedai perkakasan Lee Chai Leong adalah seorang daripadanya.

Warga emas berusia 66 tahun hanya mula membaiki kerosakan kedainya di Taman Sri Rambai lima hari lalu. Ini kerana dia terpaksa menyelesaikan keadaan rumahnya yang rosak akibat banjir terlebih dahulu yang juga terletak di kawasan sama.

Rumah satu tingkat Lee dibanjiri air sedalam 3 kaki. Semua perabot, tilam dan peralatan elektrik seperti peti sejuk rosak. Keretanya juga perlu dibaiki.

“Saya dan isteri saya terpaksa berpindah ke rumah salah seorang anak kami buat sementara waktu. Apabila air banjir surut, kami perlu membersihkan rumah terlebih dahulu dan melihat apa yang rosak,” katanya kepada The Malaysian Insight di kedainya semalam.

Taman Sri Rambai adalah kawasan di Bukit Mertajam yang paling teruk terjejas dalam bencana banjir.

Ketika banjir kali pertama melanda, ramai menyelamatkan diri ke sekolah Jit Sin di kawasan kejiranan yang dibina di atas tanah lebih tinggi. Tetapi kali ini, sekolah tenggelam berikutan rekod hujan lebat selama 15 jam.

Lee berkata ketika membuka pintu di kedainya, dia tidak dapat masuk kerana barang-barangnya jatuh dari rak.

“Air naik satu kaki, walaupun kedai dibina lebih tinggi daripada paras jalan raya.

“Semua yang saya simpan di lantai basah dan rosak. Ia barang-barang berat dan paling berharga, seperti alatan logam, kunci, alatan elektrik dan kabel,” katanya.

Lee berkata satu pertiga daripada barangannya rosak dan mungkin terpaksa membuang beberapa barang, memberinya kepada sesiapa dan membersihkan apa sahaja yang boleh diselamatkan untuk djual dengan harga murah.

“Tengoklah apa yang masih boleh dijual dan apa yang tidak boleh tetapi dalam keadaan masih boleh diguna, saya boleh mendermakannya kepada Persatuan Merit Tzu Chi. Mereka mungkin menggunakannya,” katanya.

Kedai berusia 18 tahun Lee dalam keadaan kacau bilau semasa dia dan pembantu warga asingnya meneruskan kerja pembersihan. Ia memerlukan beberapa hari lagi untuk membersihkan tempat itu.

Tetapi dia bersyukur kerana masih menerima pelanggan setiap hari, seperti seorang lelaki yang memerlukan paku semalam.

“Saya sepatutnya gembira saya masih mempunyai beberapa barangan untuk dijual. Terdapat seorang juruelektrik di barisan bertentangan saya yang bercadang menutup perniagaannya. Katanya sukar untuk memulihkan perniagaan selepas banjir,” katanya, sambil menunjukkan kedai yang tutup.

Beberapa kedai runcit di Taman Sri Rambai turut terjejas.

Lee Chai Leong melihat barangan di kedainya yang rosak akibat banjir di Taman Sri Rambai, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 24 November, 2017.

Sebuah kedai rosak berguni beras dan barang kering seperti kacang, jagung dan komputer pejabat.

Seorang ahli keluarga yang menjaga kedai yang hanya memberitahu nama keluarganya Yeoh, berkata mereka tidak dapat ke kedai pada masa kejadian untuk menyelamatkan barangan kerana tidak tinggal di kawasan itu.

“Ia menyedihkan melihat semua beras yang rosak… semuanya sudah kembang. Kacang merah dan hijau mula bercambah selepas terendam di dalam air.

“Begitu banyak yang terbazir. Bau daripada air banjir berlumpur dan beras rosak juga dahsyat. Kami tutup selama beberapa hari untuk membersihkan dan membuang barang-barang,” kata wanita berusia 60-an itu.

Yeoh berkata keluarga itu tidak dapat mengira kerugian dialami kerana tiada siapa yang mengenal pasti dan berapa banyak yang hilang kerana terlalu sibuk membuang segala barangan rosak.

Yuw, 28, dari kedai runcit lain di kawasan itu juga berkata sukar untuk menganggarkan kerugian perniagaan keluarganya.

Kedainya dibanjiri air setinggi satu setengah kaki, merosakkan berkotak-kota stok minuman, serbuk cuci, mi dan lain-lain barang kering.

“Apa yang kami tinggalkan di atas lantai semuanya rosak. Kami hanya boleh membuangnya. Kami tidak boleh mengembalikannya kepada pembekal.

“Beberapa barang masih baik tetapi kita tidak boleh menjualnya lagi. Kami memberikan sahaja beberapa barang kepada pelanggan.

“Ada banyak perkara yang perlu dibuat dan terlalu banyak untuk dikenal pasti. Saya tidak boleh mengatakan berapa banyak yang kami rugi,” katanya.

Di antara barangan yang rosak itu juga adalah stok baru yang tiba sebelum banjir, jadi Yuw berkata mereka terpaksa menunggu beberapa ketika sebelum stok baharu sampai.

Satu-satunya barangan yang laku selepas banjir itu adalah penyapu, mop, berus, sabun dan lain-lain untuk pembersihan, kata Yuw semasa ahli keluarganya di Taman Sri Rambai membersihkan rumah mereka.

Beliau juga berkata kedainya sama seperti yang lain di kawasan itu tidak mempunyai perlindungan insurans bagi bencana banjir.

“Ini kerana kawasan ini kerap banjir. Pernah berlaku banjir dahulu tetapi hanya di jalan raya.

“Tapi ini kali pertama air masuk ke kedai. Tiada siapa menjangka dan sekarang semua orang takut akan berlaku lagi kejadian seperti itu,” katanya.

“Kini kami lebih bijak. Semua orang bercakap mengenai rak besi.”

Kerajaan Pulau Pinang belum lagi mendedahkan jumlah kerugian yang dialami atau kos pembersihan selepas ribut yang turut menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang.

Pihak pentadbiran menganggarkan kira-kira 100,000 isi rumah terjejas oleh banjir, paling buruk pernah terjadi di Pulau Pinang dalam tempoh 30 tahun.

Bagi membantu mangsa membina semula kehidupan, kerajaan melancarkan program Pulau Pinang Bangkit dengan peruntukan sebanyak RM105 juta sebagai bantuan kepada mangsa seperti wang tunai, diskaun bil cukai air, diskaun kadar penilaian dan penggantian dokumen kerajaan percuma.

Bersama sumbangan yang diperoleh daripada orang awam, perbadanan dan penderma lain, negeri memberi mangsa bantuan RM700 bagi setiap isi rumah.

Negeri setakat ini mengumpulkan sumbangan RM16.1 juta di bawah program itu. – 24 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen