SATU kluster baharu dikesan di kawasan kejiranan Taman BDC di Kuching yang kini menjangkiti 37 individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, jangkitan terbabit yang melibatkan tiga generasi dikesan berpunca daripada kes indeks perhimpunan jemaah tabligh Seri Petaling.
“Ia menjangkiti tiga generasi melibatkan keluarga, kariah masjid dan rakan sekerja mereka,” katanya yang menambah tujuh orang sudahpun sembuh dan dua terkorban dalam kluster itu.
Beliau juga mengumumkan seramai 2,266 individu dijangkiti daripada kes perhimpunan berkenaan, yang membentuk 35% daripada kesemua 6,353 kes jangkitan Covid-19 setakat ini.
Dr Noor Hisham mengumumkan jumlah keseluruhan kes itu dengan pertambahan 55 kes baharu hari ini.
Jelas beliau, 48 daripadanya melibatkan penularan tempatan dan separuh daripada dikesan dari kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Perintah PKPD berakhir semalam di sesetengah tempat namun perintah dilanjutkan di sekitar Para Borong Kuala Lumpur yang masih dikesan merekodkan kes aktif.
Jangkitan besar juga dikesan di kluster Chow Kit, dengan 16 kes baharu, lima kes dari kluster Sendayan dan tiga kes dari kluster pesantren Indonesia.
Dua kes turut dikesan dari kluster Kampong Bharu dan satu kes dari madrasah Air Merbau di Jasin.
Tiada kematian ke Covid-19 direkodkan dalam 24 jam lalu namun 28 kes dalam unit rawatan rapi dan 13 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berkuatkuasa hari ini sehingga 12 Mei. – 4 Mei, 2020.
Komen